Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN) Perak, Rahim Cheng |
KUALA KANGSAR - Keputusan PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP menjadi titik tolak bagi Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN) Perak, Rahim Cheng untuk meninggalkan parti itu walaupun telah bersama sejak umurnya 15 tahun.
Kata Rahim, keputusan PAS tersebut merupakan keputusan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menggunakan kuasa veto beliau seperti yang dimaklumkan oleh bekas Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar, bertentangan dengan pendiriannya yang mahu bersama DAP.
"Apabila PAS memutuskan hubungan dengan DAP, maka saya salah seorang yang tidak bersetuju dan kita mendesak dari dalam kepimpinan memikirkan perkara ini.
"Tetapi proses putusnya hubungan dengan DAP itu dibuat bukan melalui muktamar, tetapi melalui arahan atas kuasa veto Presiden seperti yang dijelaskan oleh Datuk Mahfuz Omar," katanya berceramah di Pekan Manong, di sini, semalam.
Rahim turut meluahkan rasa kesalnya dengan tuduhan pihak tertentu yang menuduh PAN sebagai "barua" DAP dan menegaskan parti sekutunya itu tidak bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri.
"Dia (DAP) tak boleh memerintah negara ini dan dia pun tak hendak.. DAP pun tak hendak, dia pun tahu.. Dia pun sedar diri...
"Cina memerintah yop, katanya... Ini satu pembohongan, satu penganiayaan (terhadap DAP), dan saya kesian dengan sahabat-sahabat saya," katanya mempertikai tuduhan yang mendakwa DAP mahu memerintah Malaysia.
Katanya, parti-parti pembangkang termasuk PAS perlu bersatu dalam satu pakatan di negara ini dan menang majoriti kerusi parlimen ketika pilihan raya maka barulah boleh membentuk sebuah kerajaan.
Namun katanya, PAS enggan untuk menyertai Pakatan Harapan walau dipujuk, sebaliknya lebih memilih untuk membentuk blok ke-3 pembangkang bersama parti Ikatan, sebuah parti yang mempunyai sekitar 75 ahli sahaja.
"Parti KITA ni diberitakan hanya ada 75 orang ahli yooppp.. bukan 75 ribu..75 orang ahli aje parti KITA.
"Kononnya kita ni pengkhianat, kononnya kita ini daripada barua dan sebagainya.. berbagai-bagai lagi tohmahan.. jebon bla.. bla.. bla.. sampai hari ini kita menjadi tunggangan DAP.. kita jadi tak faham.
"Tapi dia boleh bersama dengan parti KITA," katanya memperlekeh sekutu baru PAS, sebelum dibetulkan nama parti gabungan PAS oleh hadirin, merujuk kepada parti Ikatan, pimpinan Datuk Seri Abdul Kadir Syeikh Fadzir.
Ekoran itu, Rahim menggesa supaya para pengundi di Manong supaya memberi undi kepada parti PAN pada 18 Jun nanti. -Kedahnews.com