RAMADAN bertandang lagi iaitu bulan yang amat dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam.
Rasulullah SAW memberi galakan kepada para sahabat untuk menanti dan mengharapkan kehadiran Ramadan.
Sabda Baginda:
“Di dalam syurga mempunyai sebuah pintu yang digelar al-Rayyan. Orang yang berpuasa memasuki syurga melaluinya pada hari kiamat. Tidak akan masuk seorang pun melainkan mereka sahaja. Dipanggil: Siapakah orang yang berpuasa? Lalu mereka yang berpuasa bangun. Tidak ada yang memasuki syurga melaluinya selain daripada mereka. Apabila mereka telah masuk, ia ditutup. Maka tidak ada lagi yang akan masuk melaluinya walaupun seorang,” - Riwayat Bukhari.
Hakikatnya, Allah SWT memberi isyarat jelas bahawa ibadah puasa menimbulkan ketakwaan seseorang.
Ibadah puasa yang ditunaikan mampu menguatkan hati dan melahirkan sifat terpuji. Ia menerbitkan semangat jihad melawan hawa nafsu yang sedia wujud dalam diri.
Ibadah puasa memberi kesempatan kepada manusia membersihkan nafsu melalui ibadah dan zikir kepada Allah SWT. Firman-Nya:
“Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang yang diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah dia daripada hasutan nafsu itu,” (Surah Yusof: 53).
BULAN BONUS
Ramadan bulan bonus dan dividen kerana beribadat pada bulan mulia itu dikurniakan ganjaran pahala yang berlipat ganda. Gandaan pahala mengerjakan ibadat ketika berpuasa amat hebat.
Ia berdasarkan hadis daripada Salman r.a. yang berkata:
“Rasulullah SAW berkhutbah pada hari terakhir bulan Syaaban mafhumnya: Wahai manusia sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan yang agung lagi penuh keberkatan (bulan Ramadan) iaitu bulan yang ada padanya satu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan, bulan yang Allah jadikan berpuasa padanya suatu kewajipan dan berqiyamullail (beribadat pada malamnya) sebagai amalan sunat.“Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah pada bulan itu dengan melakukan amalan kebajikan (amalan sunat), maka ia mendapat pahala seperti melaksanakan perintah yang wajib dan sesiapa yang melakukan amalan yang wajib pada bulan Ramadan, maka ia mendapat pahala seperti orang yang melakukan 70 amalan fardu.” - Riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Majah.
Malangnya apa yang menyedihkan hari ini, masyarakat lebih memeriahkan Ramadan dengan festival bazar Ramadan dan promosi bufet Ramadan yang mula diuar-uarkan sebelum ketibaan Ramadan lagi.
Diriwayatkan oleh Talhah bin Ubaidullah, dia berkata:
"Dua orang lelaki dari Baaliyyu menemui Rasulullah SAW dan memeluk Islam.“Seorang daripada kedua-dua mereka lebih semangat berjihad daripada yang kedua, kemudian dia (orang pertama) pergi berperang dan menemui syahid, lelaki yang kedua hidup hingga setahun selepasnya, sebelum meninggal dunia.“Kemudian aku bermimpi seakan-akan aku berada di pintu syurga. Tiba-tiba aku berada di sisi kedua-dua lelaki tersebut, setelah itu malaikat keluar dari syurga.“Malaikat kemudiannya mengizinkan lelaki yang meninggal dunia terkemudian daripada yang pertama untuk memasukinya, kemudian malaikat tersebut keluar lagi dan mempersila lelaki yang mati syahid. Lalu malaikat itu kembali kepadaku dan berkata: Kembalilah kamu, sebab belum saatnya kamu memperoleh hal ini.“Keesokan harinya aku menceritakannya kepada orang ramai, mereka pun hairan, lalu diajukan kepada Rasulullah SAW dan menceritakan perkara tersebut. Maka Baginda bersabda: Perkara mana yang membuat kalian hairan? Mereka menjawab:“Wahai Rasulullah, lelaki (yang pertama meninggal) merupakan yang paling bersemangat dalam berjihad daripada yang kedua, lalu dia mati syahid, tetapi mengapa yang kedua (lelaki yang meninggal terkemudian) masuk syurga terlebih dahulu? Rasulullah SAW menjawab:“Bukankah orang ini (lelaki yang meninggal terkemudian) hidup setahun setelahnya? Mereka menjawab: Ya. Baginda bersabda lagi: Bukankah dia mendapat bulan Ramadan dan berpuasa? Dia juga mengerjakan solat ini dan itu dengan beberapa sujud dalam setahun? Mereka menjawab:“Ya. Rasulullah SAW kembali bersabda: Sungguh, sangat jauh perbezaan antara kedua-duanya (dalam kebajikan) bagaikan antara langit dan bumi.” - Riwayat Ibnu Majah.
Beginilah kesungguhan seorang Muslim yang mengerjakan ibadah puasa dan menunaikan sunat tarawih di samping merasai keseronokan mengerjakan kebaikan serta menjauhi larangan-Nya sebagaimana sabda Rasulullah SAW mafhumnya :
“Sesiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan terhadap ganjaran daripada Allah semata-mata, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” - Riwayat Bukhari.
Inilah wasatiyyahnya seorang Muslim yang menjalani ibadah puasa. Selamat menjalani ibadah puasa. Marhaban, Marhaban Ya Ramadan.
Sumber: Utusan