Gambar Hiasan |
BEBERAPA minggu sebelum Ramadan, sudah ada suara-suara yang mempersoalkan sikap segelintir daripada kita dalam bulan mulia itu. Antara yang kerap dibangkitkan soal juadah berbuka dan bersahur atau pokoknya soal makan minum.
Berbeza benar dengan zaman dulu-dulu. Seingat penulis, sekitar akhir 60an membawa ke awal 70an, bunyi alu dan lesung bertingkah di segenap rumah seminggu dua sebelum Ramadan. Semuanya bersiap-sedia dengan segala macam tepung untuk dibuat kuih berbuka. Maka tepung talam , buah melaka, seri kaya, pulut udang, tepung bungkus - semuanya dibuat sendiri sejak pukul 2 atau 3 petang sampailah santak waktu berbuka.
Pada zaman sekarang, tidak perlu sangat hendak bersiap apa-apa kecuali wang. Kita mewah dengan makanan dan mudah pula memperolehnya kerana dijual di mana-mana pada bulan puasa ini. Kerana itulah ada istilah ‘kuih tunjuk’ semasa Ramadan kerana kita perlu tunjuk sahaja apa yang dikehendaki kemudian boleh dibuat berbuka.
Di bandar, pinggir bandar dan pekan, gerai menjual makanan dan minuman didirikan untuk menjual juadah berbuka puasa. Lesen sementara untuk berniaga di bazar-bazar Ramadan sudah lama ditempah. Para peniaga yang sudah biasa berniaga pada bulan puasa sudah berkira-kira apa yang hendak diniagakan. Apakah sama dengan tahun-tahun sebelum atau ada menu baharu untuk orang yang hendak berbuka dan bersahur?
Zaman orang sekarang yang sibuk dengan kerja menjadikan perniagaan juadah berbuka dan bersahur menjadi penting. Dari warung di tepi jalan sampailah ke hotel tidak kira berapa bintang, ada sahaja juadah untuk berbuka dan bersahur. Di mana ada pusat pengajian tinggi pula, kedai-kedai makan penuh dengan pelanggan seawal pukul 6 petang.
Tidak kurang juga yang berjinak-jinak dengan perniagaan kerana memahami Ramadan menjadi lubuk rezeki untuk para peniaga. Kalau rumah di tepi jalan, memang mudah berniaga asalkan tidak ganggu lalu-lintas. Apa yang hendak diniagakan, pandai-pandailah kerana kalau tidak berbincang dengan peniaga di sebelah, sama pula jadinya.
Cuma yang agak kurang menarik, pembaziran banyak berlaku ketika Ramadan. Makanan memanglah berlambak-lambak, tetapi apa yang dikesali, ada makanan yang dibeli atau disediakan tidak habis dimakan. Lalu ke mana akhirnya makanan tersebut? Akhirnya masuk ke dalam tong sampah.
Restoran dan hotel menawarkan bufet berbuka puasa untuk sesiapa sahaja dengan tawaran harga yang pelbagai. Ada yang boleh ambil apa sahaja yang dikehendaki sesudah ditetapkan harga bagi setiap kepala.
Untuk mengelak pembaziran, sesetengah restoran mahupun hotel sudah mengenakan syarat, iaitu makanan atau minuman yang tidak habis dimakan itu mesti dibayar untuk mengelak sikap membazir yang sering berlaku seperti sebelumnya.
Tindakan ini dianggap baik demi mendidik orang ramai yang berbuka puasa supaya tidak membazirkan makanan yang diambil. Apabila makanan itu sudah menjadi sisa, tentulah akan dibuang begitu sahaja.
Keinginan yang tidak terbatas selalunya akan mengundang masalah kemudiannya. Contoh paling jelas adalah makanan tidak habis dimakan kerana mengikut hawa nafsu. Ini berpunca daripada tidak pandai membuat anggaran banyak mana makanan dan minuman yang perlu disediakan untuk seisi keluarga, atau untuk jiran yang ada di sekeliling rumah.
Apa-apa pun, para peniaga mestilah bertanggungjawab dalam penyediaan makanan untuk berbuka dan bersahur. Kualitinya mesti dijaga dan harganya pula biarlah berpatutan.
Selamat berpuasa!
Sumber: Utusan