Rasa Lebih Tenang Sendirian Kembara Di Lautan Garam


Seorang pengembara merentasi pamah garam Salar de Uyuni di Bolivia berseorangan sebagai cara mendapat ketenangan dan bertafakur dengan merakamkan pengalamannya itu menggunakan selfie.

Mateusz WaligÛra dari Wroclaw, Poland, mengembara selama seminggu di Salar de Uyuni untuk melihat sendiri landskap terkenal itu selain berehat seketika daripada kehidupan seharian yang dipenuhi kesibukan.

Wartawan berusia 29 tahun itu menjelaskan dia paling gemar mengembara di gurun kerana keluasan landskap ditawarkan.


“Kalau disebut pamah garam mungkin bunyinya agak bosan, tetapi sejujurnya saya tidak langsung rasa begitu sepanjang di sana.

“Keindahan matahari terbit dan terbenam membiaskan pelbagai warna yang terlalu indah sehingga tidak terkata.

“Tambahan pula saya suka duduk bersendirian seperti ini. Cuma terdengar bunyi geseran angin dan garam yang dipijak saya setiap kali melangkah,” katanya.


Menurutnya, secara tidak langsung pengalaman itu memberinya peluang bertafakur dan merehatkan fikiran. Namun dia mengaku turut bersedia berdepan kemungkinan berlaku ribut kerana keadaan landskap bererti tiada tempat untuk berlindung jika bencana berlaku.

“Itu memang risiko yang perlu diambil terutama memandangkan saya berseorangan. Cuaca di sini stabil tetapi tidak bererti mampu berubah sekelip mata.

“Mujur itu tidak berlaku, namun ada juga cabaran cuaca turun serendah -14 celsius pada satu ketika,” katanya. 


Sumber: myMetro