PENDANG - Kira-kira 1,500 orang penduduk daerah Pendang dan Pokok Sena hari ini merasai nikmat keberkatan bulan Ramadhan Al-Mubarak menerusi sumbangan BARAKAH dari Kerajaan Negeri Kedah, sebentar tadi.
Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Ku Rahman Ku Ismail berkata, sumbangan yang diberi itu merupakan sebahagian dari RM2.4 juta yang diperuntukkan kepada kira-kira 12,000 rakyat di semua daerah di seluruh negeri.
"(Program) ini adalah yang ke-6 sejak bulan Ramadhan ini, kita panggil BARAKAH Ihya Ramadhan. Ia bermula ketika saya mewakili Menteri Besar di daerah Kulim dan Bandar Bharu. Hari ni kita buat daerah Pendang dan Pokok Sena.
"Ada dua lagi (program yang belum dilaksanakan), Padang Terap dan Langkawi," kata Ku Rahman yang mewakili Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dalam sidang media di sini, hari ini.
Kata beliau, meskipun Kerajaan Negeri Kedah merupakan sebuah negeri yang memiliki dana yang mewah seperti negeri lain, namun masih tetap mengutamakan kebajikan rakyat di negeri itu khususnya ketika bulan Ramadhan dan menjelang 1 Syawal.
"Kita bukan ada dana yang besar.. Untuk setahun, pendapatan kita hanya sekitar RM700 juta saja setahun.
"Tapi dalam kesempitan kewangan sebegitupun, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah, kita merasakan bahawa ini adalah keperluan rakyat kita. Jadi kita cari jugalah dana untuk kita sumbangkan, beri bantuan kepada penduduk negeri," jelasnya.
Menurut beliau, perancangan mulanya hanyalah disasarkan bantuan kepada semua penoreh di negeri Kedah ekoran harga komoditi itu yang merudum, namun kemudian diputuskan untuk disalurkan bantuan tersebut kepada golongan lain yang memerlukan.
Jelas Ku Rahman, hubungan baik Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat turut menyumbang kepada kemakmuran negeri Jelapang Padi itu dengan menghulurkan bantuan yang diperlukan rakyat di seluruh negeri.
Antara penerima sumbangan BARAKAH Ihya Ramadhan tersebut adalah terdiri daripada golongan guru Al-Quran, bidan, penggali kubur, bomoh patah dan pengurus jenazah menerima bantuan daripada Kerajaan Negeri.
Turut hadir di majlis berkenaan adalah Exco Kerajaan Negeri, Datuk Suraya Yaacob, yang juga merupakan Adun Sungai Tiang, Ahli Parlimen Pendang, Datuk Othman Abdul, pegawai-pegawai daerah, pemimpin masyarakat, penerima sumbangan serta ribuan masyarakat Pendang dan Pokok Sena. -Kedahnews.com