Rumah Di Taman Pandan, Alor Setar Jadi Sasaran Mercun

Mohamad Azwa menunjukkan kawasan yang terbakar di rumahnya.
ALOR SETAR - Sebuah keluarga di Taman Pandan di sini buntu apabila rumah mereka menjadi sasaran mercun yang dipercayai dibaling kanak-kanak, setiap kali tiba musim perayaan.

Sejak lorong di tepi rumahnya dibuka enam tahun lalu, Mohamad Azwa Md Salleh, 54, tertanya-tanya kenapa rumahnya sering menjadi mangsa dibaling mercun.

Beliau berkata, kanak-kanak terbabit akan melalui lorong itu pada waktu malam dengan menaiki basikal atau motosikal sambil membaling mercun.

Apabila meletup, mereka akan ketawa ramai-ramai dan beredar.

“Saya tidak pernah memandang serius kejadian itu kerana menganggap hanya jenaka kanak-kanak.

“Saya tidak pernah ambil tindakan atau menggertak kerana tahu mereka hanya penduduk kawasan sekitar ini,” katanya.

Namun begitu, tindakan nakal itu mengundang musibah kepada keluarga apabila rumahnya hampir terbakar akibat letupan mercun Telur Naga yang dibaling malam kelmarin.

“Ketika itu saya dan keluarga sedang menyambut ulang tahun kelahiran anak keempat bersama tetamu yang hadir sebelum terdengar bunyi letupan mercun dari luar rumah.

“Menganggap fenomena biasa pada malam hari, saya tidak ambil kisah sebelum tiba-tiba terbau benda terbakar beberapa minit kemudian,” katanya.

Beliau tidak berpuas hati lalu meluru ke dapur untuk melihat keadaan sebenar.

“Saya menutup semua suis kerana beranggapan mungkin litar pintas tetapi masih tiada kesan malah asap makin memenuhi ruang dapur,” katanya.

Isterinya, Jamaliah Saad, 52, pula melihat keadaan di luar rumah melalui pintu belakang kerana beranggapan mungkin ada orang sedang bakar sampah.

“Ketika itu, saya ternampak cahaya kemerah-merahan dari tepi rumah. Setelah keluar, kami terkejut melihat api sedang marak,” katanya

Ketika itu api sedang menjilat pintu kayu rumah manakala kerusi yang diletakkan berhampiran pintu sudah hangus.

“Mujur kami berada di rumah ketika itu. Pada awalnya, kami bercadang menyambut ulang tahun anak di luar,” katanya.

Jamaliah berkata, rumahnya yang terletak di tepi lorong gelap sering menjadi sasaran kanak-kanak membaling mercun hampir setiap malam apabila tiba musim perayaan.

“Kalau bukan waktu malam, kadang-kadang waktu petang, sebelum ini mereka kerap membaling mercun bola, tapi tidak pernah terbakar macam ini.

“Mungkin kebetulan mercun yang dibaling terjatuh di atas kerusi yang akhirnya menyebabkan kebakaran,” katanya,

Sementara itu, Mohamad Azwa berkata, kebakaran yang terjadi malam kelmarin menyebabkannya curiga dan bimbang untuk meninggalkan rumah pada waktu malam.

‘Saya sepatutnya balik kampung (esok) hari ini tetapi hati sudah mulai bimbang kejadian sama berulang,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Alor Setar.

Sumber: Sinar Harian