RAMADAN kini memasuki fasa terakhir. Begitu pantas masa berlalu. Tidak sampai 10 hari, Ramadan akan pergi meninggalkan kita. Semoga dalam hari-hari yang berbaki ini, kuantiti ibadah kita semakin baik dan berkualiti.
Teruskan jihad Ramadan ini. Jihad sudah sinonim dengan bulan Ramadan. Memetik inti pati khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Dr. Farid Ravi di Masjid Bandar Seri Putra (MBSP) minggu lalu, beliau menjelaskan mengenai jihad ini iaitu jihad mengekang nafsu yang sentiasa mengajak manusia melakukan kejahatan dan jihad memerangi musuh.
Berkaitan jihad mengekang nafsu melakukan kejahatan, beliau menarik perhatian tentang syaitan. Setiap kali Ramadan kita sering diperingatkan tentang bagaimana syaitan diikat atau dibelenggu sepanjang bulan ini.
Contohnya hadis yang berbunyi:
“Apabila masuk bulan Ramadan, dibukakan pintu-pintu langit dan ditutup pintu-pintu neraka Jahanam, serta dibelenggu syaitan-syaitan”. Begitu juga dengan hadis berikut: “Jika datang bulan Ramadan, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu,” (HR. Bukhari dan Muslim).
Persoalannya, kenapa masih ada manusia yang sanggup melakukan kejahatan? Adakah ini bermakna syaitan masih bebas bergerak menghasut dan menggoda manusia melakukan maksiat dan kemungkaran sehingga terjerumus ke lembah dosa pada bulan yang mulia ini?
Manusia juga memainkan peranannya. Jika mereka tahu syaitan itu kufur maka tidak perlu mereka mengikut telunjuk syaitan.
Memang syaitan itu dibelenggu pada bulan Ramadan tetapi disebabkan jiwa dan nafsu yang kotor, manusia tetap melakukan kemungkaran. Tidak pasti sama ada pelaku kejahatan ini adalah orang Islam yang turut berpuasa. Jika ya, jadikanlah ibadah puasa pada bulan Ramadan ini sebagai alat untuk membersihkan jiwa dan nafsu mereka yang jahat serta kotor.
Selak ingin menarik perhatian mengenai manusia yang terus dipengaruhi unsur-unsur jahat dan maksiat pada bulan Ramadan ini. Contohnya, kes kecurian di kawasan masjid termasuk ketika orang sedang bersolat.
Banyak video, gambar yang sering menjadi viral memaparkan kes kecurian ini seolah-olah satu perkara biasa. Mencuri beg duit jemaah, tabung masjid adalah antara kes yang dilaporkan.
Kereta yang diletakkan di kawasan masjid juga menjadi mangsa penjenayah mencuri barang berharga. Mungkin jika berlaku di luar bulan Ramadan, itu satu perkara biasa tetapi apabila melibatkan pada bulan yang mulia ini, ia sesuatu yang amat mendukacitakan. Adakah mereka ini tergolong dalam golongan sejahat-jahat syaitan?
Bagaimana pada bulan Ramadan ini mereka boleh ‘terlepas’ melakukan kejahatan lebih-lebih lagi di kawasan masjid? Adakah mereka tidak ada duit sehingga tergamak mencuri ketika orang sedang beribadah? Apakah masalah sebenar mereka ini?
Adakah mereka ini tergolong dalam kalangan orang yang benar-benar miskin? Mungkin ya dan mungkin tidak. Jika ya, golongan ini tentunya mendapat pembelaan sewajarnya daripada masyarakat lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini umat Islam digalakkan bersedekah.
Orang yang bersedekah pada bulan Ramadan akan ditambah pahalanya 10 hingga 700 kali ganda. Maka ramai yang berlumba-lumba untuk bersedekah. Biasanya fakir miskin juga mendapat bantuan secara langsung daripada pusat zakat, agensi berkaitan kebajikan dan sebagainya.
Jika ada yang tidak dibantu, mungkin akibat terlepas pandang dan kegagalan pihak-pihak berkenaan menyantuni mereka.
Pusat zakat atau pihak-pihak yang berkaitan perlu mencari kaedah untuk mengesan golongan ini tanpa ada yang tercicir sama ada disebabkan tidak mendapat maklumat atau angkara kerenah birokrasi. Hentikan polemik yang berkaitan zakat ini, isu yang tidak pernah berakhir.
Kembali kepada kes kecurian di masjid, siapakah mereka yang tergamak mencuri ketika orang sedang beribadah atau melakukan amal kebaikan?
Adakah penagih dadah yang sudah hilang pedoman hidup sehingga ada kes menunjukkan mereka ini sanggup membunuh anggota keluarga untuk mendapatkan wang bagi memperoleh dadah atau melakukan perbuatan ini ketika dipengaruhi dadah?
Adakah mereka ini juga penganggur yang sebenarnya malas bekerja ketika berjuta orang pendatang asing memasuki negara ini merebut peluang kerja?
Untuk meminta secara baik mereka mungkin malu dan akhirnya terpedaya dengan godaan syaitan supaya mencuri di mana sahaja ada kesempatan sekalipun di ‘rumah Allah’ .
Mereka mungkin terdesak dan datang ke masjid bukan untuk beribadah tetapi mahu mencuri jika berkesempatan, maksudnya mungkin peluang itu datang apabila berlaku kecuaian jemaah yang meletak barang mereka dengan satu kepercayaan ‘tidak ada yang akan mencuri di rumah Allah’.
Malahan jika tercicir di masjid, tidak akan hilang dan dikembalikan. Hakikatnya Islam tidak mengajar umatnya mencuri walaupun dalam keadaan terdesak. Mencuri juga bukan jalan keluar daripada kesusahan atau kemiskinan.
Bagi Dr. Farid Ravi, jika mereka ini datang ke masjid untuk mencuri akibat desakan hidup, beliau yang juga Nazir MBSP menyarankan supaya mereka menemui jawatankuasa masjid untuk berkongsi rezeki yang ada.
Apa yang penting jangan mendedahkan diri dengan kegiatan mencuri. Jangan sesekali mencuri harta awam di masjid atau barang-barang yang diwakafkan.
Kalau tersarung kasut orang ketika tidak sabar untuk pulang selepas solat, mungkin itu boleh dimaafkan tetapi jika sengaja meninggalkan kasut sendiri yang lusuh dan diambil kasut baharu hak orang lain, ini boleh dianggap mencuri.
Selak turut mengalami pengalaman kehilangan barang berharga di kawasan masjid pada hari yang sama Dr. Farid Ravi menyentuh perkara ini. Petang itu ketika menghadiri satu program di sebuah masjid di ibu negara, beg sandang yang mengandungi beberapa barang berharga serta dokumen penting lesap ketika ditinggalkan sementara untuk satu tugasan.
Mungkin akibat kecuaian saya yang terlalu yakin tidak ada manusia jahat di masjid terutama pada Ramadan ini. Pengajarannya, kecurian di masjid akan terus berlaku. Ingatlah walaupun berada di kawasan yang dianggap menjadi tumpuan manusia berjiwa bersih dan beriman, masih ada insan berjiwa kotor serta tidak takut dengan undang-undang manusia dan Tuhan.
Tidak hairanlah di sesetengah masjid sering diperingatkan supaya para jemaah menjaga barang-barang berharga mereka semasa di masjid.
Manusia yang dipengaruhi syaitan akan sentiasa mengambil kesempatan jika berpeluang tanpa mengira tempat. Mereka yang namanya orang Islam tidak peduli tentang tanggapan orang terhadap imej agama itu ketika berada di rumah ibadat.
Biar apa pun, jangan fobia ke masjid tetapi berhati-hatilah kerana ragam manusia ini pelbagai. Barangkali pada bulan ketika syaitan dibelenggu, syaitan sedang belajar daripada manusia untuk melakukan kejahatan!
Sumber: Utusan