Saman Bekas Awek, Suruh Pulangkan Duit Yang Dibelanjakan

Nina Zgurskaya
SEORANG lelaki dari Rusia telah menyaman bekas teman wanitanya agar memulangkan semula wang yang telah dibelanjakan lelaki tersebut sepanjang tempoh dua tahun mereka bercinta.

Wanita malang itu, Nina Zgurskaya berkata, hubungannya dengan pemilik sebuah firma guaman itu putus di tengah jalan ketika mereka bergaduh besar semasa sedang bercuti di pusat peranginan romantik di Crimea, baru-baru ini.

Pergaduhan tercetus selepas Nina mengharapkan lelaki itu melamarnya namun sebaliknya terjadi apabila mereka bertengkar disebabkan perkara tersebut.

Susulan pergaduhan itu, Nina telah meminta hubungan mereka diputuskan.

“Kami bercuti ke Fedosia, Crimea selama 12 hari dan saya ingat dia akan melamar saya dalam percutian romantik itu, namun saya kecewa bila tidak dilamar dan meminta putus hari itu juga,” katanya kepada sebuah stesen televisyen tempatan.

Beberapa minggu selepas itu, Nina menerima surat saman yang mana bekas teman lelaki menuntut Nina mengembalikan semula wang yang telah dibelanjakan keatasnya.

Dalam surat itu juga terselit salinan resit-resit kedai bunga, restoran dan kafe yang pernah dikunjungi mereka sepanjang berhubungan.

Wang yang perlu dibayar Nina keseluruhannya berjumlah 45,000 ruble (RM2,826).

Walaupun pihak mahkamah telah menolak tuntutan saman lelaki tersebut, namun bekas teman lelaki Nina masih tidak berputus asa dan kini sedang berusaha untuk membuat rayuan agar pemohonannya diluluskan.

Dalam tuntutannya itu, lelaki itu menyebut bahawa dia berhak menuntut jumlah wang tersebut kerana sepanjang berhubungan dia tidak pernah menganggap Nina sebagai teman wanitanya.

"Dia tidak mempunyai bukti untuk mengatakan kami pernah bercinta. Saya tak pernah berkata yang saya akan memberikan dia hadiah atau percutian percuma. Adakah tuntutan saya ini tidak boleh dibawa ke mahkamah?

"Perlukah saya berikan wang kepada setiap wanita yang saya jumpa di jalanan?" sinis lelaki tersebut yang enggan mendedahkan identitinya kepada pihak pemberita. – Kedahnews.com