Samun Guna Parang, Ketua "Geng Hanis" Hadapi 7 Pertuduhan


ALOR SETAR – Ketua kumpulan ‘Geng Hanis’ yang aktif melakukan rompakan menggunakan parang mengaku tidak bersalah terhadap tujuh pertuduhan samun bersenjatakan parang di dua Mahkamah Sesyen di sini, kelmarin.

Bagi pertuduhan pertama, Mohamad Hanis Mat Saad, 25, didakwa melakukan samun bersenjatakan parang terhadap Mazlina Md Zuki, 24, membabitkan wang tunai RM210 di sebuah kedai cermin mata di Pekan Baru Tanah Merah, Pendang, pada 5.10 petang, 4 Mei lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392/395 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara selama 20 tahun dan sebatan serta didakwa mengikut Seksyen mengikut Seksyen 392/397 kanun sama yang boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh melakukan samun bersenjatakan parang ke atas Adilah Ahmad Fuad, 21, sebanyak RM200 di sebuah kedai di pekan Pendang pada 12.45 tengah hari, 26 April lalu.

Pertuduhan ketiga, tertuduh bersama rakannya Mohamad Najmi Ahmad, 20, didakwa melakukan samun bersenjatakan parang terhadap Siti Nor Athirah Che Mat, 19, dan melarikan dua telefon bimbit, dua utas jam tangan dan sebuah ‘power bank’, pada 4.30 petang, 23 April lalu.

Bagi pertuduhan keempat, Mohamad Hanis didakwa melakukan samun bersenjatakan parang terhadap siti Aishah Mt Daya, 18, iaitu wang tunai RM150 pada 7.30 malam di Pasar Mini Pekan Rabu, Pekan Tanah Merah, Pendang, pada 19 Mei lepas.

Hakim Najwa Che Mat kemudiannya menetapkan 12 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen berasingan, Mohamad Hanis turut menghadapi tiga lagi pertuduhan iaitu yang pertama pada 16 Mei lalu, pada 3.30 petang di kaunter sebuah farmasi di Pendang telah melakukan samun bersenjatakan parang terhadap Nur Intan Safinaz Zainuddin, 22, iaitu sebuah telefon bimbit jenama Ninetology.

Pertuduhan kedua, pada 8 April lalu, jam 8.30 malam di sebuah kedai kek di Pendang, melakukan samun menggunakan parang terhadap Ku Hashimah Ku Halim, 24, iaitu wang tunai sebanyak RM388.

Bagi pertuduhan terakhir, tertuduh pada 30 April lalu, pada 7.45 malam, di sebuah kedai di Pendang melakukan samun bersenjatakan parang terhadap Nur Syafiqah Awang Abu, 22, iaitu wang tunai berjumlah RM500.

Hakim Zulhazmi Abdullah juga menetapkan 12 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula dan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Mohamad Hanis dan rakannya itu diwakili peguam Sharif Mat manakala kesemua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ana Rozana Mohd Nor.

Mohamad Hanis dan rakannya didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 kanun sama iaitu sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan serta tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 14 tahun dan sebatan. – BERNAMA