Setiap bungkus memuatkan 500 gram mi kuning yang mencecah 600 bungkus pengeluaran sehari. |
SUNGAI PETANI – Kesukaran mendapatkan produk Muslim bagi memenuhi permintaan tinggi pasaran halal tempatan memberi inspirasi buat seorang pengusaha melibatkan diri dalam industri pembuatan mi kuning.
Bermula dari kesedaran itu, seorang lelaki yang berpengalaman selama 15 tahun dalam dunia pendidikan sebagai guru dan kaunselor ini sanggup mengambil cuti tanpa gaji bagi menceburi bidang pembuatan mi yang jarang dikuasai usahawan Bumiputera.
Muhamad Nazri Husain, 38, berkata, idea membangunkan perusahaan mi kuning bermula setelah melalui pengalaman pahit sukar mendapatkan makanan halal ketika ke luar negara selama lapan hari.
“Sepanjang tempoh itu, saya hanya makan jagung rebus semata-mata, sehingga pulang ke tanah air.
“Namun situasinya tetap sama di sini apabila saya cuba mendapatkan keperluan dapur terutama mi kuning dan kuey teow, namun sukar mencari produk yang diusahakan orang Islam yang rata-rata dimonopoli kaum lain,” katanya.
Selepas puas berfikir, Muhamad Nazri kemudian mengambil keputusan untuk cuba menghasilkan sesuatu yang dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada dirinya sendiri malah dikongsi buat umat Islam yang lain.
Dalami perniagaan sejak kecil
Dunia perniagaan yang telah sebati dalam dirinya setelah mula berjinak-jinak dalam aktiviti berniaga sejak di bangku sekolah bagi membantu keluarga menjual air minuman dan sebagainya menjadikan hasratnya menghasilkan mi kuning terus berkobar-kobar.
“Dalam masa sama, saya mahu memasarkan produk Muslim yang mengutamakan kebersihan tanpa menggunakan bahan pengawet dan kandungan asid yang membahayakan di samping halal serta suci,” katanya.
Peringkat awal pembabitannya, Pengurus Sky Kausar Food ini berkata, dia belajar mengikuti kursus membuat mi dan cuba memasarkan dari rumah dengan kapasiti 500 gram sebungkus yang mencecah kepada 60 bungkus sehari.
“Untuk dua minggu pertama, saya buat dan cuba sendiri bagi memastikan aspek kebersihan terjaga dan bebas bahan pengawet. Saya juga mahu kekalkan rasa sedap semata-mata mahu memberi keyakinan kepada pengguna Muslim bahawa ia selamat dan bersih.
“Selepas itu saya cuba mengembangkan pasaran kepada rakan guru, sekolah dan kenalan rapat sehinggalah berjaya pindah ke premis perniagaan dekat Bandar Perdana, Sungai Petani,” katanya.
Perusahaan mi mula dikenali
Muhamad Nazri berkata, selepas percaya kepada kebolehan memasarkan mi kuning buatan sendiri, dia mula memperkenalkan produk yang dihasilkan kepada peniaga kedai runcit dengan harapan pengguna Islam mampu memilih produk yang lebih baik.
“Bagaimanapun, disebabkan belum popular dan tiada logo khusus di setiap pembungkusan menyebabkan mi saya ditolak.
“Namun sedikit demi sedikit, pengguna mula buka mata untuk memilih sesuatu lebih bernilai, iaitu produk buatan Muslim yang digunakan saban hari untuk dijadikan juadah kepada ahli keluarga mahupun hidangan tetamu yang bersih dan terjamin mutunya,” katanya.
Katanya, perusahaan mi yang didaftarkan pada 17 Januari lalu itu kini sudah mula dikenali, menjadi keutamaan suri rumah, mahupun tukang masak bagi menyediakan juadah kepada tetamu termasuk pilihan ahli jawatankuasa masjid untuk menyediakan makanan buat jemaah yang diambil sendiri dari kilangnya.
Pasarkan 600 bungkus mi sehari
Menurutnya, biarpun baru lima bulan memenuhi pasaran sekitar Sungai Petani, Baling, Yan, Bertam dan Padang Serai, dia kini berjaya memasarkan 600 bungkus mi sehari dengan penggunaan 150 kilogram tepung gandum.
“Permintaan kini semakin tinggi apabila semakin ramai yang ingin mendapatkan produk mi kuning hasil produk Muslim.
“Keistimewaan mi kuning ini ialah tidak perlu dibilas sebelum diguna kerana tidak menggunakan bahan pengawet, asid borik ataupun rasa kapur dan baik dari segi kesihatan," katanya.
Tambahnya, disebabkan tiada bahan pengawet, mi dihasilkannya itu bertahan dalam tempoh lima hari selepas dipasarkan.
"Kini semakin ramai pengusaha Islam mahu menceburkan diri dalam industri pembuatan mi kuning.
"Saya lihat ia persaingan yang sihat dalam perniagaan," katanya.
Muhamad Nazri berkata, bagi mengembangkan perniagaannya, dia kini bersedia memasarkan bebola ikan tidak lama lagi sekiranya proses pembuatan berjalan lancar.
Sebagai umat Islam, Muhamad Nazri menasihati pengguna Muslim agar mengenal pasti terlebih dahulu sumber makanan yang dibeli di pasaran agar tidak terkeliru dengan produk lain bagi memastikan ia halal, bersih dan yakin.
"Saya juga menyasarkan akan membuka beberapa cawangan di setiap negeri bagi memenuhi matlamat memasarkan produk halal kepada pengguna Muslim di negara ini," katanya.
Sumber: Sinar Harian