Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob |
Ismail Sabri berkata, pihak media sama ada arus perdana atau media maya masih berpegang kepada etika kewartawanan yang baik dan hanya melaporkan sesuatu yang diperkatakan, malah merekodkan apa yang diperkata Nizar.
"Saya sentiasa sokong media, saya percaya media mempunyai etika mereka sendiri. Saya percaya tak kiralah dari media mana pun, media arus perdana, media sosial, walau pun bukan media arus perdana, saya percaya mempunyai etika.
"Anda takkan laporkan benda yang tidak diperkatakan, macam saya cakap hari ini, anda semua laporkan dan rekod apa yang saya katakan, takkan anda nak laporkan apa yang saya tak cakap," katanya di sini, hari ini.
Justeru itu katanya berhubung kenyataan Nizar itu, Ismail Sabri lebih percaya kepada laporan majoriti media yang hadir di ceramah PAN yang berlangsung di Kampung Sayong Lembah pada 7 Jun, baru-baru ini.
"Jadi saya rasa Nizar, bagi saya walaupun saya tak dengar, bila media laporkan saya percaya memang dia cakap, sebab itu media lapor begitu," ujarnya sejurus selepas bertemu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung JKKK di Auditorium Tun Abdul Razak, Kolej Melayu Kuala Kangsar, petang tadi.
Kata Ismail Sabri lagi, pihak pembangkang kini kian terdesak dan tertekan berkempen di Kuala Kangsar dan Sungai Besar ekoran mereka mula menyedari hakikat tidak mampu menang di dua PRK berkenaan.
Nizar pagi tadi memohon maaf atas kenyataannya yang dianggap menyinggung keluarga Allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar, namun menyalahkan pihak media yang kononnya memetik ceramahnya dari konteks yang tidak tepat.
Timbalan Pengerusi PAN Perak itu dikecam hebat sejak semalam ekoran ceramahnya yang mempolitikkan kematian arwah Wan Mohammad Khair-il Anuar sehingga menyinggung hati keluarganya.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Kadir sebelum itu menyelar Nizar sebagai cuba bermain sentimen politik kebencian pada PRK Kuala Kangsar untuk meraih undi untuk calon partinya, Prof Madya Dr Ahmad Termizi Ramli. -Kedahnews.com