Segerakan Tanaman Semula Di Wang Perah, Elak Hakisan - Ahmad Bashah

Ahmad Bashah (dua, kanan) meninjau kawasan hutan Bukit Perangin, Wang Perah, semalam.
KUBANG PASU - Kerajaan Kedah mahu pihak bertanggungjawab dalam aktiviti pembalakan di kawasan hutan Bukit Perangin, Wang Perah, di sini, sejak 2010 membuat penanaman semula ladang dengan segera.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, perkara itu perlu disegerakan untuk mengelak kejadian hakisan tanah, banjir teruk dan pencemaran sungai.

“Saya faham apa yang dialami oleh penduduk di sini dan akan cuba atasinya. Masalah itu timbul kadang-kadang mungkin disebabkan kekeliruan dan perlu tindakan.

“Dalam lawatan ini, saya nampak gambaran jelas untuk buat keputusan supaya berlaku situasi menang-menang antara tuan tanah, kerajaan dan penduduk setempat,” katanya selepas melawat Kampung Wang Perah, di sini, semalam.

Turut hadir Adun Jitra, Datuk Aminuddin Omar; Adun Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar dan Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri Pertahanan, Zulfitri Yaacob.

Difahamkan, kawasan hutan Bukit Perangin, Wang Perah sebelum ini berstatus hutan simpan kekal sebelum diubah bagi membolehkan projek pembangunan dilaksanakan.

Ia juga kawasan tadahan yang menjadi punca kepada sumber air penduduk setempat.

“Ini bukan tanah kerajaan, kita dah bagi kepada KCS (pegawai-pegawai tadbir negeri Kedah) dalam bentuk geran. Ia bukan lagi kuasa kerajaan negeri, bermakna individu atau tuan punya tanah itu akan bertanggungjawab.

“Tapi yang penting kepada siapa pun kita bagi tanah itu, bila dia bagi kepada orang ketiga, ia mesti segerakan (tanaman semula) supaya balik jadi hutan getah dan hakisan itu tidak  berlaku,” katanya.

Ahmad Bashah berkata, kawasan pembalakan itu wajar dibuat tanaman semula sama ada pokok getah atau sawit.

Sumber: Sinar Harian