Selain Akim, Stacy Upah Ustazah Ajar Baca Al-Quran


BERPUASA buat kali pertama sebagai saudara baru membuatkan Stacy atau nama Islamnya, Ummu Syaikhah Stacy Anam berasa amat teruja.

Selain berpuasa, Stacy, 26, juga mengakui dia kini sedang berusaha belajar membaca Al-Quran.

Menurut pelantun lagu "Not For Sale" itu, dia juga mengupah seorang ustazah bagi memudahkan dia dan anak angkatnya, Bella mempelajari Al-Quran.

“Selama ini, Akim banyak mengajar saya di rumah. Dia okey cuma apa saya lakukan ini atas inisiatif sendiri. Dalam seminggu, tiga atau empat kali ustazah datang ke rumah. Pada masa sama anak saya Bella juga boleh belajar mengaji.

“Justeru, sepanjang Ramadan ini saya ambil keputusan mengurangkan aktiviti seni. Kalau ada pun sekadar memenuhi jemputan majlis berbuka puasa. Bukan apa, selaku saudara baru perlu lebih banyak belajar mengenai Islam.

“Walaupun tidak terus pandai, sekurang-kurangnya saya belajar sedikit demi sedikit. Dalam perkara ini, Bella juga teruja untuk turut serta,” katanya kepada Harian Metro.

Stacy memberitahu, dia akan berusaha sebaik mungkin untuk berpuasa pada tahun ini. Dia mengakui amat berterima kasih kepada suaminya, Akim yang banyak memberi tunjuk ajar dan membantunya mendalami Islam. –Kedahnews.com