Sewa Tapak Khemah Di Masjid India RM1,000, Bukan RM10,000

Senator Datuk Dr Loga Bala Mohan
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak pernah mengenakan bayaran yang melebihi kadar yang ditetapkan bagi menyewa tapak perniagaan di kawasan Masjid India di ibu negara.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata kadar sewa yang dikenakan tidak melebihi daripada RM1,000.

“Sekiranya ada bukti yang menunjukkan sewa melebihi daripada jumlah yang ditetapkan, pihak DBKL akan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya menjawab pertanyaan Senator Datuk Seri Syed Ibrahim Kader yang menyatakan kadar sewa tapak khemah di kawasan berkenaan mencecah RM10,000.

Mengenai pengeluaran lesen perniagaan untuk Bazar Ramadan, beliau berkata ia adalah berdasarkan syarat permohonan yang telah ditetapkan termasuk menggunakan sistem pendaftaran e-Lesen bagi mengesan dan mengawal permohonan secara berulang serta permohonan yang telah disenarai hitam.

Ketika di temui di lobi Parlimen kemudiannya, Loga berkata kementerian itu juga akan menyenaraihitamkan pemohon tapak bazar Ramadan yang didapati menjual tapak yang diperolehi kepada pihak ketiga.

Beliau berkata operasi penguatkuasaan oleh DBKL sentiasa dilakukan di semua bazar Ramadan. – BERNAMA