Siapakah Gerangan Muhammad Ya'qub Di Terengganu

Di antara ulama-ulama Islam nusantara yang datang ke Jembrana, ternyata nama Muhammad Ya’qub lebih istimewa bagi penduduknya. Hal ini kerana ulama dari Terengganu itu bukan sahaja membawa ajaran Islam di daerah tersebut, tetapi juga meninggalkan legasinya sehingga hari ini.

Antara yang ditinggalkan Muhammad Ya’qub ialah tanah sawah yang diwakafkan kepada Masjid Jembrana di Loloan dan senaskhah al-Quran bertulisan tangan pada 1847. Ini dibuktikan menerusi satu prasasti atau batu bersurat yang menggunakan bahasa Melayu bertulisan jawi yang ditempatkan di masjid tersebut. Prasasti itu berbunyi:

“Hijrah Nabi SAW seribu dua ratus enam puluh lapan (1268) tahun kepada tahun H. Sehari bulan Zul Qo’idah, kepada hari Isnen dewasa itulah Encik Ya’qub orang Terengganu mewakafkan ia akan barang istrinya serta muwafaqoh ia akan segala warisnya, iaitu qur’an dan sawah satu tebih, di Mertesari perolehan empat puluh sibak, di dalam Masjid Jembrana Loloan ketika Pak Mahbubah jadi penghulu dan Bapak Mustika jadi pemekel, saksi khatib Bapak Abdulloh bin Yahya Al Qadri, khatib Bapak Abdul Hamid, itulah adanya.”

Masjid Jembrana dibina oleh masyarakat Islam pada tahun 1679 sebagai lambang bertapaknya agama itu di daerah tersebut. Masjid itu kemudian dinamakan sebagai Masjid Agung Baitul Qadim pada tahun 1974.

Siapakah Muhammad Ya’qub, orang Terengganu tersebut?

Menurut buku Sejarah Masuknya Islam di Bali II tulisan I Wayan Reken, Muhammad Ya’qub datang ke Jembrana bersama rombongan Syarif Abdullah Yahya al-Qadri, seorang ulama dari Pontianak, Kalimantan pada tahun 1799.

Pada masa itu, Jembrana di bawah penguasaan Raja Putu Seloka yang beragama Hindu. Beliau menyambut kedatangan rombongan Syarif Abdullah, Muhammad Ya’qub dan para pengikutnya. Mereka kemudian diberikan kawasan seluas 80 hektar untuk didiami ulama-ulama nusantara tersebut.

Pada tahun 1800, Putu Seloka telah melantik kumpulan terbabit sebagai tentera pengaman di Jembrana. Pada tahun 1804, Syarif Abdullah bersama rakan-rakan bersatu membina kubu pertahanan di Loloan Timur yang dikenali sebagai Kubu Fathimah.

Mengenai Muhammad Ya’qub, seorang ahli jawatankuasa Masjid Agung Baitul Qadim, Abdul Latif, 49, mengaku masyarakat Loloan lebih mengingati ulama dari Terengganu itu berbanding ulama-ulama lain.

Malah kebanyakan penduduk mengetahui bahawa ada dalam kalangan mereka merupakan keturunan Terengganu.

Mengenai makam Muhammad Ya’qub, terdapat dua versi iaitu yang pertama terletak di kompleks Makam Keramat Buyut Lebai, bersebelahan dengan makam Dawam Sirajuddin.

Bagaimanapun, Abdul Latif berkata, agak mustahil Muhammad Ya’qub dikebumikan di kawasan tersebut memandangkan beliau adalah pengikut Syarif Abdullah dan hidup dalam abad yang berbeza.

“Sebab itu, terdapat satu lagi makam Muhammad Ya’qub yang terletak di bahagian belakang Masjid Agung Baitul Qadim, bersebelahan dengan makam Syarif Abdullah dan ramai yang percaya itulah makam sebenar beliau.

“Makam ini ditemukan pada tahun 1900-an ketika proses pembesaran Masjid Agung Baitul Qadim sebelum dialihkan ke belakang masjid tersebut,” katanya yang mendakwa ada membuat kajian mengenainya.

Berdasarkan pencarian penulis, nama Muhammad Ya’qub turut disebutkan dalam sejarah perkembangan Islam di Terengganu.

Beliau yang dikenali sebagai Muhammad Ya’qub Al-Fathani merupakan datuk kepada Syeikh Wan Abdullah yang juga dikenali Tok Syeikh Duyung, seorang tokoh ulama terkenal di negeri Pantai Timur itu.

Tok Syeikh Duyung dilahirkan pada 1802 dan meninggal dunia pada 1889 manakala Muhammad Ya’qub Terengganu datang ke Jembrana pada tahun 1799.

Melihat garisan masa, ada kemungkinan Muhammad Ya’qub Terengganu yang berdakwah sehingga ke Bali dan Muhammad Ya’qub Al-Fathani merupakan orang yang sama.

Bagaimanapun, untuk memastikan kesahihannya, ia memerlukan kajian yang lebih teliti dan mendalam dan sudah pasti tidak dapat dilakukan dalam tempoh yang singkat

Di manapun makam Muhammad Ya’qub dan siapa pun beliau, ternyata nama ‘Terengganu’ yang dibawa oleh ulama ini telah meninggalkan kesan yang mendalam, bukan sahaja dalam sejarah kedatangan Islam di Bali tetapi juga bagi sejarah perkembangan Islam di Terengganu.

Sumber: Utusan