Padang Stadium Bukit Jalil |
Hampir 18 tahun, padang stadium utama negara ini berdepan dengan masalah rumput yang tidak sesuai dengan struktur tanah sehingga memberi kesan kepada aksi perlawanan bola sepak.
Bukan mudah untuk mencari rumput yang sesuai untuk digunakan di stadium yang kurang mendapat pencahayaan matahari ini sehingga menyebabkan rumput-rumput gagal tumbuh dengan baik, malah turut mengakibatan masalah kelembapan tanah.
Biarpun rumput import terbaik pernah ditanam di padang ini, ia tetap tidak diterima oleh tanah di Stadium Nasional Bukit Jalil yang akhirnya rumput 'kelahiran kampung' atau Rumput Nasional adalah jawapan kepada masalah ini.
Warna sama, fungsi berbeza
Mencari rumput bukanlah sukar kerana ia boleh ditemui di mana-mana memandangkan satu sahaja warnanya iaitu, hijau.
Walaupun hanya satu sahaja warna, hakikatnya fungsi rumput adalah berbeza-berbeza berdasarkan pelbagai faktor.
Masalah itu yang dihadapi oleh Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sejak tahun 1998.
Pelbagai kajian dan percubaan dilakukan demi memastikan Stadium Nasional Bukit Jalil tidak lagi berdepan dengan masalah rumput yang memberi kesan kepada aksi perlawanan bola sepak.
PSM yang diterajui Datuk Rozabil Abdul Rahman selaku pengerusi sejak 2013 mencari pelbagai inisiatif bagi menyelesaikan masalah utama ini.
Dengan dibantu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Azman Fahmi Osman serta kakitangannya yang lain, mereka akhirnya bersetuju menerima pandangan dan nasihat Profesor Dr Abdul Shukor Juraimi dari Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia setelah beberapa kajian dan perbincangan dijalankan.
Selepas percubaan menggunakan rumput jenis Cow Grass, Bermuda, Zoysia dan Paspalum akhirnya Rumput Nasional adalah ‘penghias’ sebenar di padang Stadium Bukit Jalil ini.
Risiko Hilang Tugas
Sudah menemui penyelesaian masalah di padang ini, bukan bermakna segalanya telah selesai.
Kini tugas rumput ini diserahkan kepada bekas pelajar Dr Abdul Shukor yang baharu menamatkan pengajian dalam bidang berkaitan rumput, Ijazah Sains Hortikultur di UPM bagi menguruskan projek ini.
Ditugaskan sebagai Pegawai Padang dan Rumput, Fadlina A.Aziz menyahut cabaran tersebut kerana yakin inilah peluang sepenuhnya untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajarinya sebelum ini.
“Walaupun masih cetek dengan pengalaman memandangkan baharu sahaja tamat pengajian, tetapi saya yakin teori dan praktikal yang dilakukan dalam tempoh pengajian boleh membantu menyelesaikan masalah ini.
“Malah saya juga sedar ia bukan latihan praktikal lagi kerana melibatkan masalah padang negara. Dengan itu, berdepan dengan risiko dibuang kerja jika projek rumput ini gagal seperti mana yang diharapkan,” jelas Fadlina mengimbas kembali pengalaman menguruskan projek rumput ini.
Menurutnya, sebaik sahaja projek bermula, dia banyak menghabiskan masa di padang bagi memastikan Prosedur Operasi Standars (SOP) padang berjalan dengan lancar.
“Beberapa bulan, masa saya banyak dihabiskan di sini kerana khuatir sekiranya ada apa-apa masalah yang timbul ketika proses penanaman rumput ini dijalankan.
“Dan selepas beberapa bulan, apabila Rumput Nasional ini sudah mula menghijau sihat di padang, ia perlu diuji. Inilah saat-saat yang membuatkan hidup saya tidak tenang kerana ia bakal mengetahui sama adalah tugas saya itu berjaya atau tidak.
“Perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Lions XII akan menjadi saksi sama ada rumput ini masih bermasalah atau tidak.
“Sepanjang tempoh itu hanya Tuhan sahaja yang tahu. Namun saya bersyukur kerana Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, Presiden PSM, CEO dan semua yang terlibat berpuas hati dengan keadaan rumput ini dan ia memang sesuai berada di padang Bukit Jalil ini.
“Dan selepas perlawanan itu, kami terus menumpukan perhatian kepada rumput ini dan proses penjagan serta pemantauan rumput ini agar ia sihat dan tidak diserang sebarang masalah.
“Jadi sekarang, seperti yang awak tengok baru-baru ini’, prosesnya sudah selesai sepenuhnya dan kini kami perlu memastikan ia dijaga dengan betul.
"Selain itu, projek rumput ini berjalan lancar adalah kerana sokongan dan kerjasama daripada semua pihak terutamanya dari PSM sendiri yang memberi kepercayaan kepada saya untuk menguruskannya,” jelasnya kepada mstar online yang membuat tinjauan padang bersama Azman dan pegawai-pegawai PSM baru-baru ini.
Selain di Stadium Nasional Bukit Jalil, Fadlina juga turut mengetuai projek padang di Akademi Bola Sepak Negara di Gambang Pahang.
Masalah Padang Selesai Sepenuhnya
Menurut Azman, kini masalah rumput di padang Bukit Jalil sudah diselesaikan dan akan diuji tidak lama lagi.
“Kadang-kadang pasukan bola sepak kebangsaan menjalani latihan di sini bagi menguji ketahanan rumput ini. Pun begitu, padang ini tidak akan digunakan untuk sebarang perlawanan kerana stadium masih ditutup bagi proses menaik taraf segala fasiliti dan kemudahan di sini.
"Ia akan digunakan secara rasmi untuk acara Sukan SEA yang akan berlangsung tahun depan.
“Sebagai stadium utama negara, kita akan cuba yang terbaik bagi memastikan ianya sempurna sebelum digunakan bagi temasya dwi tahunan itu.
“Tetapi yang sebenarnya projek menaik taraf ini bukan hanya untuk Sukan SEA sehaja malah ia adalah kegunaan untuk tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang,” jelas Azman.