Sudah Keluar Hospital, Mahfuz Tetap Pertikai Kesihatan Ahmad Bashah

Datuk Mahfuz Omar
KUALA LUMPUR – Pemimpin PAS namun dilabel 'pro-Pakatan Harapan', Datuk Mahfuz Omar berterusan 'menyerang' Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang baru pulih daripada menjalani pembedahan.

Beliau mendakwa kononnya jawatan Menteri Besar Kedah perlu dipangku oleh individu lain walaupun Ahmad Bashah telah dibenarkan pulang ke rumah kerana Menteri Besar itu akan hanya membuat seluruh rakyat Kedah turut masuk wad unit rawatan rapi (ICU) jika beliau meneruskan tugasnya.

“Persoalan yang saya bangkitkan kerana pembedahan yang dilakukan keatas Ahmad Bashah ialah `major pembedahan’ bukannya `minor pembedahan’. Apatah lagi diwaktu berlaku kejadian Bashah mengalami pitam.

“Seorang Menteri Besar bukan sekadar mempengerusi mesyuarat tetapi perlu memerah otak untuk berfikir tentang pembanggunan ekonomi untuk masa depan rakyat dan negeri Kedah. Jauh dan lama lagi nak kena kenjoi lepaih ni.Jangan nanti sampai tak makan nasihat dan akhirnya 1Kedah masuk wad ICU,” dakwanya dalam satu kenyataan media semalam.

Media pada 23 Jun lalu melaporkan Menteri Besar Kedah dibenarkan pulang ke rumah selepas 18 hari dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat masalah komplikasi usus.

Ahmad Bashah yang memakai kemeja berwarna krim kelihatan ceria ketika keluar dari wadnya di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP kira-kira pukul 4.25 petang ditemani isterinya, Datin Seri Hizam Awang.

Ketika disapa wartawan, Ahmad Bashah berkata, beliau akan pulang untuk berehat di rumahnya di Alor Setar dan dijangka menyambung cuti selama seminggu sebelum kembali bertugas. – Kedahnews.com