Tabbarruk Athar Rasulullah SAW Harus, Tidak Bercanggah ASWJ - Mufti Kedah

ALOR SETAR - Umat Islam dibolehkan "bertabarruk" atau mengambil barakah dengan "athar" peninggalan Rasulullah SAW, namun tindakan tersebut wajar dilakukan secara sederhana dan tidak keterlaluan.

Jabatan Mufti Kedah dalam satu kenyataan hari ini berkata, tindakan bertabarruk itu hukumnya adalah harus dan tidak bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jama'ah yang menjelaskan ia adalah sebagai wasilah untuk memperoleh kebaikan barakah.

"Adapun mengambil keberkatan daripada athar (bekas/tempat/barang peninggalan) Nabi Muhammad SAW adalah harus. 

"Ini kerana perbuatan tersebut tidak bertentangan dengan aqidah Ahlus Sunnah Wal Jama'ah yang menerima tabarruk dengan athar Rasulullah SAW sebagai wasilah untuk mencapai kebaikan daripada perbuatan tersebut," katanya dalam kenyataan tersebut di sini.

Walau bagaimanapun, Jabatan Mufti Kedah menafikan pernah mengeluarkan kenyataan sokongan rasmi terhadap program "Lantunan Mahabbah Rasulullah Ramadhan bersama Athar Rasulullah" yang berlangsung pada 24 Jun lalu, anjuran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di sini.

Difahamkan kenyataan Jabatan Mufti Kedah itu dikeluarkan ekoran program berkenaan telah menimbulkan keresahan di kalangan umat Islam Kedah tentang tindakan pihak berkenaan dalam soal mengambil tabarruk terhadap athar Rasulullah SAW.

Kenyataan Jabatan Mufti Kedah itu disahkan oleh Mufti Kedah, Datuk Paduka Syeikh Muhammad Baderudin Ahmad.

Berikut di bawah adalah kenyataan penuh Jabatan Mufti Kedah mengenai isu berkenaan: -Kedahnews.com