TORKHAM – Tentera Pakistan dan Afghanistan terlibat dalam perang singkat di sempadan utama di Torkham dari kelmarin hingga awal tengah hari semalam.
Seorang tentera Afghanistan terbunuh dan enam yang lain cedera manakala seorang tentera Pakistan cedera.
Kedua-dua negara saling menyalahkan satu sama lain sebagai penyebab pertempuran.
“Pada masa ini kami telah bersetuju dengan gencatan senjata dengan Pakistan. Kami berharap masalah ini akan berakhir melalui saluran diplomatik,” kata ketua eksekutif Kerajaan Afghanistan, Abdullah Abdullah, melalui Twitter, seperti dilaporkan Reuters.
Hubungan kedua-dua negara yang berjiran ini tegang dalam beberapa bulan terakhir. Kabul menuduh Islamabad menyembunyikan gerila yang berusaha untuk menggulingkan Kerajaan Afghanistan, termasuk ahli rangkaian Haqqani.
Sedangkan Pakistan membantah ia menyokong militan. Sebaliknya, Pakistan mendakwa sedang membina gerbang sempadan di dekat Torkham, sebuah bandar di Pakistan yang berdekatan dengan sempadan Afghanistan untuk mencegah gerila keluar masuk dari Afghanistan ke Pakistan.
“Dalam rangka untuk menyemak gerakan pengganas melalui Torkham, Pakistan sedang membina sebuah gerbang di pihak sempadan (kami) sendiri sebagai keperluan untuk menyemak pergerakan yang tidak diingini dan menyalahi undang-undang,” kata tentera Pakistan dalam satu kenyataan.
“Pasukan keselamatan Pakistan bertindak balas tembakan Afghanistan secara berkesan,” lanjut kenyataan itu.
Sementara itu, komander polis di sempadan Afghanistan timur, Ayub Hussainkhil berkata, pertempuran di Gerbang Torkham berhenti pada pukul 5.00 pagi hari pada hari Isnin.
“Kami telah menerima kekuatan dan bersedia untuk mempertahankan negara kami sampai titik darah terakhir dalam tubuh kami,” katanya. – Kedahnews.com