Terkini: PM Umum Rombakan Kabinet Terbaru

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan rombakan kecil Kabinet Persekutuan menerusi sidang akhbar khas pada pukul 3.15 petang di Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Paling mendapat tumpuan apabila beliau menyatakan bahawa Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatan dalam kerajaan atas sebab peribadi.

Tempat beliau diisi oleh Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani yang dinaikkan pangkat daripada sebelum ini ialah Timbalan Menteri Kewangan kepada jawatan menteri penuh di kementerian tersebut.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor dilantik sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Pelantikan itu memang dijangka pelbagai pihak susulan usaha keras beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menyaksikan kemenangan besar parti itu dalam Pilihan Raya Kecil Sungai Besar naru-baru ini

Noh menggantikan Datuk Abdul Rahman Dahlan yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, bertanggungjawab terhadap Unit Perancang Ekonomi mengambil alih daripada Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Bekas CEO Maybank itu mengumumkan tidak menyambung jawatan selepas tamat tempoh sepenggal sebagai senator; bersama-sama dengan Datuk Seri Idris Jala yang berakhir maksimum dua penggal menjadi senator.

Sementara itu, Presiden Parti Gerakan, yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong yang sebelum ini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dilantik sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi

Beliau menggantikan Datuk Seri Douglas Uggah Embas yang dilantik menjadi Timbalan Ketua Menteri Sarawak selepas menang Pilihan Raya Sarawak baru-baru ini mengambil alih kekosongan Tan Sri Alfred Jabu Numpang .

Jawatan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan diisi Anggota Parlimen Lawas, Henry Sum Agong daripada Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah yang dilantik menjadi Menteri Besar Kedah.

Manakala Anggota Parlimen Silam, Datu Nasrun Datu Mansur dilantik Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menggantikan allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon yang terlibat nahas helikopter pada 5 Mei lalu.

Pelantikan lain ialah Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri SK Devamany menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Othman Aziz dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Naib Presiden MCA yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lee Chee Leong pula kini menjadi Timbalan Menteri Kewangan menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Johari.

Kali terakhir rombakan Kabinet dilakukan ialah pada Julai 2015 menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal digugurkan jawatan, bersama-sama tiga yang lain. - Kedahnews.com