Remaja yang tersekat pada forklift. - Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah |
ALOR SETAR - Seorang remaja berusia 18 tahun cedera ringan selepas kaki kanannya tersepit pada forklift dalam satu kejadian di sebuah kedai papan di Jalan Gunung, Kampung Sungai Baru di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, pekerja kilang papan berkenaan terpaksa menahan kesakitan beberapa minit sementara menunggu pasukan penyelamat tiba.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, pihak bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 2.35 petang.
“Kira-kira sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar diketuai Komander Operasi, Jasbir Singh a/l Tara Singh ke tempat kejadian dan tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.
“Sebaik tiba di sana , seorang remaja dilihat tersepit pada kenderaan berkenaan sebelum usaha menyelamatkan mangsa dilakukan,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang diselamatkan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, untuk rawatan lanjut menggunakan Jentera Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) Alor Setar.
Sumber: Sinar Harian