The Rock Teringin Nak Jadi Presiden Amerika Syarikat


PELAKON dan bekas bintang gusti WWE, The Rock atau nama sebenarnya, Dwayne Johnson, 44, melahirkan keinginan mahu bergelar Presiden Amerika Syarikat suatu hari nanti.

Pengakuannya dibuat menerusi majalah GQ keluaran terbaharu yang menceritakan mengenai minatnya dalam bidang politik.

Ia bukanlah perkara yang pelik apabila aktor terlibat dalam bidang politik di negara tersebut, sebagai contoh sebelum bergelar Presiden AS ke-40, Ronald Reagan telah 27 tahun terlibat dalam bidang seni sebagai pelakon.

Ronald Reagan
Bekas gabenor California pula merupakan pelakon filem aksi lasak iaitu Arnold Schwarzenegger yang menyandang gelaran itu dari 2003 hingga 2011.

“Saya ada menyimpan impian untuk bergelar gabenor dan juga presiden, ia pastinya suatu perkara yang mengujakan (terlibat dalam bidang politik).

Arnold Schwarzenegger
“Jika berpeluang menyandang gelaran itu, pastinya saya mahu memberi impak dan kesan terhadap masyarakat secara global. Tapi rasanya saya ada banyak benda lain yang perlu dibuat dahulu (sebelum meneruskan impian bergelar presiden),” katanya kepada majalah berkenaan.

Walaupun ramai peminat menyokong cita-citanya itu, namun Dwayne mengatakan buat masa ini dia masih belum bersedia untuk memikirkan perkara itu terlalu jauh. –Kedahnews.com