Tiada Kes Baru Difteria Di Kedah - Dr. Norhizan

Gambar Hiasan
SUNGAI PETANI – Tiada kes baru difteria dilaporkan di Kedah sehingga semalam dengan jumlah kes kekal kepada lapan, kata Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr. Norhizan Ismail.

Beliau berkata sebelum ini, kes itu membabitkan tujuh beradik dari Flat Paya Nahu di sini, yang mengorbankan seorang daripada mereka pada 22 Jun lepas, dan satu kes dari Taman Nilam, Langkawi melibatkan anak warga asing.

“Daripada enam beradik itu, keadaan bayi lelaki berusia 10 bulan kini stabil namun masih berada di wad ICU Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

“Lima beradik yang lain sudah dibenarkan pulang dari Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), begitu juga kanak-kanak dari Langkawi itu,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama semalam.

Dr. Norhizan berkata Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda turut menggiatkan aktiviti pencegahan dan kawalan penyakit difteria.

“Pengesanan aktif kes di Langkawi mengesan lapan orang kontak di rumah dan semuanya sihat dan diberi rawatan kemoprofilaksis. Pengesanan kontak di tadika pula mengenal pasti seramai 20 daripada 22 kanak-kanak mendapat imunisasi lengkap dan 2 orang lagi dalam proses verifikasi,” katanya.

Selain itu, lima kanak-kanak di Taman Nilam yang layak imunisasi telah diberikan suntikan vaksin itu.

Di Flat Paya Nahu pula, seramai 146 daripada 179 kanak-kanak di bawah umur tujuh tahun telah menerima imunisasi lengkap, 10 lagi akan menerima imunisasi itu hari ini dan 23 lagi belum layak menerima vaksinasia.

Sehubungan itu, Dr. Norhizan menasihati ibu bapa supaya menyemak kad kesihatan anak dan memastikan mereka diberi imunisasi lengkap.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata Kementerian Kesihatan sentiasa memantau penggunaan dan pengambilan semua jenis ubat-ubatan termasuk vaksin.

“Sebelum vaksin dipasarkan secara komersil, ia diuji dengan rapi ke atas ribuan orang menerusi kajian klinikal berskala besar dan dipantau dengan ketat bagi menjamin keselamatan penerimanya.

“Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, Kementerian Kesihatan yang mendaftar atau meluluskan sesuatu vaksin. Ia perlu disahkan selamat untuk penggunaan sebelum boleh diguna pakai di Malaysia dan dimasukkan ke dalam program imunisasi.

“Justeru itu, masyarakat tidak perlu bimbang untuk memastikan anak-anak mereka menerima imunisasi kerana ia dapat mencegah kejadian penyakit berjangkit dan mencegah kejadian wabak yang serius,” katanya. – BERNAMA