Kelibat pocong yang turut dirakam dalam video tersebut dan didakwa geng penyamun yang melakukan penyamaran di Jalan Sungai Ular. |
KULIM - Polis menafikan menerima laporan berkenaan video yang menjadi viral kononnya kumpulan penyamun sedang melakukan penyamaran menyerupai makhluk halus di Jalan Sungai Ular, dekat sini, semalam.
Video yang berdurasi 54 saat itu dimuatnaik seorang pemilik akaun Facebook pada 13 Jun jam 6.08 petang dengan penerangan meminta pengguna jalan raya kawasan itu berhati-hati kerana penyamun sedang menyamar sebagai pocong supaya pemandu panik dan terbabas.
Selain itu, menurut penerangan pada video yang dimuat naik itu juga ia berjaya dirakam jam 3 pagi pada 13 Jun di kawasan Jalan Sungai Ular.
Melalui pemantauan Sinar Harian video tersebut juga telah dilihat sebanyak 113,000 dan 2,800 perkongsian sehingga semalam.
Malah, melalui rakaman tersebut kelibat pocong itu juga dapat dilihat pada durasi ke 10 saat yang berada di bahu jalan.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Abdullah Arshad berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis mengenai kejadian tersebut.
"Kita tak terima sebarang laporan, jika benar ada sila lapor kepada pihak kami supaya tindakan lanjut boleh diambil. Malam ini juga kita boleh pergi lihat sendiri sekiranya ia benar.
"Kita harap orang ramai tidak menyebarkan maklumat palsu yang menimbulkan panik dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, semalam.
Sumber: Sinar Harian