Tiada Rumah Terbuka Sempena Hari Raya - Sultan Johor

JOHOR BAHRU – Keluarga kerabat diraja Johor tidak akan meraikan sambutan Hari Raya Puasa dengan rakyat di negeri ini sebagai menghormati kemangkatan Tunku Laksamana Johor.

Perkara itu diumumkan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerusi laman Facebook rasminya bahawa kerabat baginda memutuskan tidak mengadakan Rumah Terbuka Hari Raya untuk orang ramai pada tahun ini.

Pada masa sama, keluarga diraja itu menghargai setiap peluang untuk meraikan sambutan perayaan tersebut bersama-sama dengan rakyat seperti diraikan pada tahun-tahun sebelum ini.

Bagaimanapun untuk tahun ini pula, sambutan tersebut hanya akan diadakan secara peribadi bagi memperingati kemangkatan Tunku Abdul Jalil pada awal Disember tahun lalu akibat kanser.

Dalam kenangan… Almarhum Tunku Abdul Jalil (kiri) bergambar ketika pertabalan kemahkotaan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tahun lalu.
“Almarhum Tunku Laksamana Johor mangkat pada 5 Disember 2015. Hari lahirnya jatuh pada 5 Julai – kebetulan pula hari terakhir bulan Ramadan – dan waktu tersebut merupakan saat yang memilukan dan sukar.

“Ini kerana Tuanku Sultan dan keluarga Baginda masih lagi dalam keadaan gundah dan sedih mengenangkan pemergian Almarhum.

“Keluarga Diraja Johor sebaliknya akan menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di masjid sebelum menziarahi Makam Diraja bagi membaca Surah Yassin untuk Almarhum.

"Selepas itu baginda akan memperuntukkan masa bersama keluarga secara peribadi,” demikian menurut kenyataan dalam Facebook tersebut. –Kedahnews.com