Tinggalkan Bandar, Menetap Dalam Hutan Papua New Guinea


Sebuah keluarga dari Florence, Mississippi, Amerika Syarikat mengambil keputusan meninggalkan kehidupan moden dan mewah di bandar semata-mata mahu menetap di kawasan pedalaman di Papua New Guinea.

John Michael, 33, dan isterinya, Jessica George, 34, memilih untuk menjalani kehidupan yang sederhana di kawasan hutan walaupun mereka bertaraf jutawan.


Pasangan itu bersama tiga anak perempuan mereka, Lucy, 9, Mattie, 7, dan Mia, 5, tinggal dengan suku kaum Hewa di wilayah Enga, sejak lima tahun lalu.

Keluarga itu pada mulanya datang ke Papua New Guinea sebagai mubaligh Kristian sebelum mengambil keputusan menetap di sana.

Lokasi penempatan mereka terlalu terpencil dan terletak sejauh 10 hari perjalanan dari bandar berhampiran menyebabkan keluarga itu terpaksa belajar hidup tanpa peralatan moden.

Dalam usaha untuk diterima puak berkenaan, keluarga itu secara keseluruhannya perlu menyesuaikan diri dengan cara hidup baru.

“Kehidupan kami di sini sebenarnya lebih sukar, tetapi ringkas. Saya perlu memastikan yang anak kami berjaya mengharungi kehidupan di sini pada setiap hari,” kata Jessica.

Ujarnya, setiap tugasan di rumah menjadi lebih rumit kerana keadaan hutan yang terlalu terpencil.

“Saya memasak dengan bahan asas menggunakan tanaman yang ditanam di kebun bersebelahan rumah kami.

“Saya juga sentiasa `berperang’ dengan serangga yang sering masuk ke rumah yang diperbuat daripada kayu, papan lapis dan jejaring dawai sebagai tingkap,” ujarnya.

Tambahnya, dia juga sering melawat jirannya walaupun kediaman mereka hanyalah pondok buruk tanpa kemudahan asas.

“Pondok mereka biasanya berasap dan penuh dengan daun dan tumbuhan menjalar.

“Mereka juga tiada elektrik, bekalan air bersih atau perabot untuk duduk,” jelasnya.

Menurutnya, kaum wanita Hewa banyak mengajarnya berkebun dan bercucuk tanam.

“Michael pula membantu kaum lelaki membina rumah, pagar dan apa saja yang mereka lakukan pada hari itu.

“Saya juga terpaksa mengajar anak saya kerana tiada sekolah di penempatan ini,” katanya.


Tambahnya, anak-anaknya sangat sukakan kehidupan dan kaum Hewa, serta menganggap tempat itu sebagai rumah mereka.

“Kehidupan pedalaman bagus untuk kanak-kanak kerana mereka mudah dan cepat mendapat kawan.

“Bagaimanapun, dalam budaya Hewa, kanak-kanak tidak banyak bermain kerana kebanyakannya bekerja,” ujar Jessica.

Walaupun kehidupan mereka nampak mudah, Jessica mengaku adakalanya dia rindu untuk memesan piza apabila malas untuk memasak pada waktu malam.


Michael memberitahu hospital terdekat hanya boleh dikunjungi dengan 30 minit menaiki pesawat.

“Kalau kami sakit atau terkena jangkitan, kami tidak boleh tiba-tiba muncul di depan bilik doktor.

“Kami biasanya merawat diri sendiri tetapi kami bernasib baik kerana ada beberapa doktor yang bekerja di organisasi bantuan berhampiran kawasan ini yang menjaga kami dengan baik,” katanya. -Agensi