TMJ Timang Puteri Pertama, Kini Bergelar Ayahanda


Sekalung tahniah diucapkan kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che’ Puan Khaleeda Bustamam, yang telah selamat menimang cahaya mata puteri sulung, pagi semalam.

Berita gembira itu diumumkan menerusi satu kenyataan rasmi oleh Yang Dipertua Majlis Jumaah Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli.

“Jumaah Diraja Johor merafak syukur ke hadrat Allah dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor dan Yang Mulia Che Puan Khaleeda Bustamam atas keputeraan anakanda pertama baginda berdua.

“Seorang puteri pada 25 Jun 2016 bersamaan 20 Ramadan 1437 di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah. Che Puan Khaleeda dan paduka puteri berada dalam keadaan sihat walafiat,” ujar kenyataan berkenaan.


Pasangan diraja ini dikurniakan seorang puteri.

TMJ dan Che’ Puan Khaleeda mendirikan rumah tangga pada 24 Oktober 2014. – Kedahnews.com