UAI Ditanya, Apa Hukum "Left Group" Whatsapp?

Ustaz Azhar Idrus
KADANGKALA apabila grup perbualan Whatsapp terlalu aktif 24 jam serta topik yang diperbualkan tersasar jauh, perasaan hendak ‘left’ group adalah sangat memuncak. Tetapi jika keluar grup secara tiba-tiba, takut ada kenalan yang terasa hati pula.

Merujuk kepada hal ini, Ustaz Azhar Idrus (UAI) memberitahu tindakan meninggalkan grup Whatsapp tidak bermakna kita putus silaturahim namun seeloknya langkah itu diberitahu dahulu agar tidak menimbulkan andaian negatif.

“Putus silaturahim ini haram dosa besar, berat sangat itu sebagai contoh kalau putus silaturahim ini ada bapa saudara buang bapa saudara ‘left group’ bukan sampai tahap begitu.

“Namun, jika seseorang berniat untuk meninggalkan grup Whatsapp, mereka disarankan agar memberitahu terlebih dahulu agar tidak menimbulkan sebarang andaian negatif,” katanya seperti yang dipetik portal Sinar Harian.

Pendakwah itu juga memberikan contoh alasan yang dikaitkan dengan tindakan ‘Left group’ misalnya, kerana tidak suka keadaan orang yang berbual, rasa grup tersebut tiada faedah, dan kerana terlalu banyak grup untuk dikendali.

“Sebaik-baiknya kalau kita tidak nyatakan sebab biarlah orang tahu sebabnya, bila orang sudah tahu mereka tidak tertanya-tanya… Bila kita nak keluar minta maaf, nyatakan sebab, jadi boleh ‘left group’ tiada masalah,” katanya lagi.

Ustaz Azhar mengatakan sedemikian ketika di dalam forum Program Bersama Ustaz Azhar Idrus, Aku, Ramadan dan Facebook di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam.

Dalam forum yang sama, Azhar Idrus menggesa pengguna media sosial agar memanfaatkan platform teknologi itu secara baik. -Kedahnews.com