Ulama PAS Kecam Kerajaan Guan Eng Iktiraf LGBT

Naib Presiden PAS Idris Ahmad menyampaikan ucapan perasmian Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Ke-55 sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-62, malam Selasa.
PASIR PUTEH - Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) mengecam tindakan Kerajaan DAP di Pulau Pinang kerana memberi pengiktirafan kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Ketua DUPP, Datuk Mahfodz Mohamad berkata, hakikatnya negara berada dalam krisis apabila LGBT diberi perakuan atas nama hak asasi manusia.

"Kerajaan DAP Pulau Pinang menjadi kerajaan pertama di Malaysia memberi pengiktirafan melalui Jawatankuasa Transgender negeri itu yang bermesyuarat kali pertama di Bangunan Dewan Undangan Negeri pada 17 Mei 2016.

"Dewan Ulama PAS mengutuk semua sokongan yang bernuansa budaya kaum Lut ini," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Muktamar Tahunan DUPP kali ke-55 di sini, Selasa malam.

Baru-baru ini, kerajaan Pulau Pinang meluluskan penubuhan Jawatankuasa Transgender bagi membela nasib golongan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri  (Adun) DAP Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu merupakan pengerusi sementara jawatankuasa itu.

Sehubungan itu, Mahfodz menyeru pemimpin khususya ulama mendampingi kelompok LGBT agar golongan itu dapat bersama PAS untuk diberikan kefahaman Islam yang sebenar.

"Seterusnya membawa mereka kepada pemahaman Islam sebagai satu cara hidup yang boleh menyelamatkan di dunia dan akhirat," ujar Mahfodz.

Sumber: mStar