Umat Islam AS Rasa Donald Trump Sudah Melampaui Batas

Donald Trump
WASHINGTON – Retorik anti-Islam yang disuarakan berulang kali oleh calon presiden Republikan, Donald Trump, mewujudkan atmosfera yang membuatkan sebahagian rakyat berasa mereka boleh menyuarakan prejudis atau menyerang umat Islam tanpa bimbang dihukum.

Trump, menyemarakkan kenyataan anti-Islamnya selepas kejadian pembunuhan beramai-ramai di Orlando minggu lalu oleh lelaki Islam, menggesa penggantungan pendatang dari negara yang mempunyai sejarah keganasan.

Beliau mengulangi desakan supaya masjid dipantau rapi dan memberi amaran umat Islam cuba mempengaruhi kanak-kanak Amerika Syarikat. “Apa yang dilakukan Trump adalah membuatkan pemikiran yan selama ini tertutup, menjadi terbuka.

“Beliau memberikan kebenaran kepada orang lain untuk bersuara lantang, beliau membuang rasa malu yang dikaitkan dengan prejudis.

“Orang tahu mereka tidak akan dihukum,” kata seorang penduduk Islam Amerika yang bekerja dengan agensi kerajaan persekutuan di Maryland, Sarah Ibrahim.


Trump menolak kritikannya berunsurkan perkauman, dan berkata beliau selalu disalah faham oleh media dan pembangkang.

Laporan oleh Majlis Perhubungan Amerika-Islam (CAIR) dan Universiti California, yang disiarkan pada Isnin menunjukkan kejadian masjid diserang meningkat kepada 78 pada 2005, paling banyak sejak badan itu mula memfailkan kejadian berkenaan pada 2009.

Pengarah jabatan pemerhati dan memerangi Islamofobia CAIR, Corey Saylor, berkata ada peningkatan dalam kejadian Islamofobia berikutan tragedi di Orlando, termasuk yang menyasarkan masjid.

“Retorik Trump adalah ancaman secara langsung kepada prinsip Amerika.

“Beliau menjuarai idea anti-Perlembagaan seperti mengharamkan atau memantau orang ramai berdasarkan kepercayaan mereka.

“Ia menyumbangkan kepada persekitaran tidak baik yang menyaksikan sebahagian penduduk melaksanakan undang-undang sendiri dan menyerang orang yang dianggap sebagai Islam,” katanya. – REUTERS