Umat Islam Finland Puasa 23 Jam Sehari?

SEJUMLAH 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia telah mula berpuasa pada Isnin lalu. Ramai sedia maklum, tempoh berpuasa di setiap benua berbeza-beza panjangnya.

Perbezaan jangka masa ini berlaku kerana tempoh berpuasa bergantung kepada jarak waktu diantara matahari terbit dan terbenam, yang berubah-ubah berdasarkan latitud dan longitud sesebuah negara.

Namun umat Islam yang tinggal di Bulatan Artik berdepan cabaran hebat apabila matahari hanya tenggelam selama 55 minit hingga 1 jam.
Kata seorang lelaki warga Bangladesh, Mohammed dan keluarganya yang tinggal di Utara Finland, berkata, mereka berpuasa pada pukul 1.35 pagi dan berakhir pada pukul 12.48 pagi hampir keesokan harinya pada tahun lalu.

Jelasnya yang dipetik daripada portal Independent UK, sanak saudaranya yang tinggal di Bangladesh sukar untuk mempercayai bahawa mereka berpuasa selama 23 jam sehari.

Walaupun begitu, dia dan keluarga mampu menyempurnakan ibadah puasa tanpa sebarang masalah.

Mohammed
“Mereka akan kata, ia susah untuk dipercayai! Tetapi kami berjaya mengharunginya, malah kami berpuasa tanpa sebarang masalah.” katanya, memetik Sinar Harian.

Tambah Mohammed lagi, bagi umat Islam yang tinggal di Lapland sempadan Sweden, mereka mengikut waktu berbuka puasa negara Islam berhampiran.

Di sini, kami berkongsi beberapa buah negara yang mempunyai waktu berpuasa paling lama dunia. Bagi tahun ini tempoh terpanjang adalah di Sweden dan Denmark, di mana umat Islam di sana berpuasa lebih daripada 20 jam sehari.

Manakala Argentina dan Australia mengalami tempoh puasa yang paling singkat iaitu selama 9 jam 30 minit. –Kedahnews.com