UTM Antara Tersenarai 100 Universiti Terbaik Asia

Universiti Teknologi Malaysia
KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) disenaraikan sebagai antara 100 Universiti Terbaik Asia bagi 2016 oleh Times Higher Education, yang memantau kedudukan 200 universiti terbaik di Asia.

Berdasarkan senarai Times Higher Education, UTM berada di tempat ke-70.

Tiga lagi universiti Malaysia yang mendapat tempat dalam senarai Times Higher Education ialah Universiti Putra Malaysia yang berada dalam kedudukan 121-130, Universiti Sains Malaysia (141-150) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (161-170).

Tiada universiti Malaysia yang disenaraikan antara 100 Universiti Terbaik Asia bagi 2015 oleh Times Higher Education.

“Data terbaharu ini menunjukkan bahawa Malaysia, bersama-sama dengan Thailand dan Indonesia, mempunyai universiti yang mampu menampilkan prestasi berdasarkan penanda aras yang ditetapkan oleh Times Higher Education,” kata Phil Baty, editor penyenaraian Times Higher Education.

Dalam kaji selidik terbaharu itu, National University of Singapore menduduki tempat pertama dalam senarai itu manakala Nanyang Technological University berkongsi tempat kedua bersama-sama dengan Peking University.

University of Hong Kong berada di tempat keempat diikuti oleh Tsinghua University di tempat kelima, kata Times Higher Education. – BERNAMA