VIDEO: Ratapan Anak Disisi Arwah Ibu Runtun Emosi Netizen


VIRAL di laman sosial sejak beberapa hari lalu, video seorang kanak-kanak lelaki meratapi pemergian ibu tercinta di sebuah hospital di Alor Setar, Kedah.

Video yang berdurasi 2 minit 16 saat itu, yang dimuat naik oleh ibu saudara arwah, Sharifah Asma Syed Kechik menimbulkan rasa sebak di hati netizen.

Apatah lagi ia memaparkan seorang kanak-kanak bernama Darwish yang enggan meninggalkan sisi katil arwah ibunya serta dilihat mengusap dan memeluk arwah membuat ramai yang menonton turut berasa sebak lagi pilu.

Menurut Puan Asma kepada sebuah portal, anak saudaranya itu tidak menghidapi sebarang penyakit kecuali menghidapi darah tinggi secara tiba-tiba sejak kandungan berusia 3 bulan.

“My niece tak pernah ada sakit apa-apa pun sebelum ini. Cumanya, bila dia pregnant, dia dapat darah tinggi tiba-tiba sahaja. Itu pun semasa dia hamil, dia pun tak tahu sampailah kandungan dia berusia 3 bulan, baru dia tahu.

“Masa kejadian itu, dia hamil 6 bulan. Pada mulanya dia sakit tengkuk dan kepala. Dia minta anak dia picitkan. Selepas itu tiba-tiba saja dia tidak sedar.

“Then suami dia pulang dari office terus menghubungi ambulance, bawa pergi ke hospital,” katanya.

Jelas Puan Asma lagi, menurut doktor yang merawat arwah, pembuluh darahnya telah pecah dan sudah merebak ke otak serta memerlukan pembedahan segera.

“Menurut doktor, pembuluh darah dia dah pecah dan darah sudah spread ke otak dan perlukan pembedahan segera. Terpaksalah bawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar. Tapi pada masa itu, dia dah elok dan boleh bercakap lagi.”

Tambah Puan Asma, arwah ingin melihat anak kesayangannya, Darwish yang ternyata rapat dengannya sebelum dibawa ke bilik pembedahan.

“Sebelum pembedahan, dia nak tengok Darwish sebab Darwish sangat rapat dengan dia. Nak tidur pun, ibu dia yang kena tidurkan dia.

“Pembedahan berlangsung selama 12 jam. Selepas keluar dari bilik pembedahan, dia terus koma dan langsung tiada sebarang respon. Beberapa hari kemudian, bayi dalam kandungannya meninggal dunia. Arwah pula under ventilator.

“Selepas beberapa hari, doktor buat keputusan untuk memberhentikan ventilator sebab dia dah tak ada respons. Masa itu, kalau sesiapa yang ada di ICU akan menangis teruk.

“Mana mampu nak melihat ratapan anak-anak dia bila doktor nak buka life support itu? Operation dia di kepala, jadi tempurung kepala dibuka. Bayangkan macam mana sakitnya kan?” luahnya sedih.

Arwah meninggalkan seorang suami dan tiga orang anak iaitu Darwish, kakaknya berusia 17 tahun dan adik perempuan bongsu, 4 tahun.

Video itu telah ditonton lebih 750 ribu dan dikongsi sebanyak 12, 620 perkongsian sejak ia dimuat naik. -Kedahnews.com