Yang Di-Pertuan Agong Berangkat Ke Jamuan Teh Diraja


KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berkenan berangkat menghadiri majlis Jamuan Teh Diraja sempena sambutan Hari Keputeraan Seri Paduka di Istana Negara di sini, semalam.

Turut berangkat ke majlis itu Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah, Tunku Panglima Besar Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah serta Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan isteri Tunku Soraya Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Antara tetamu yang hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria serta bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Majlis yang dihadiri kira-kira 3,000 jemputan termasuk menteri-menteri Kabinet serta isteri masing-masing dan orang kenamaan dari dalam dan luar negara itu diserikan dengan acara memotong kek oleh Seri Paduka Baginda.

Antara yang menarik perhatian para jemputan pada majlis itu ialah pameran 29 biji kek bertema Diraja daripada 29 buah hotel terkemuka di seluruh negara.

Penyanyi veteran tempatan Datuk Yusni Hamid dan penyanyi era 90-an Mohammed Rauzan Alwi atau lebih dikenali sebagai Roy, menyampaikan persembahan nyanyian diiringi Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah berkenan bersalaman dengan para jemputan sebelum berangkat meninggalkan majlis. – BERNAMA