Zairil Khir Johari Gesa Jangan Sokong Pindaan Akta 355

Ahli Parlimen Bukit Bendera DAP, Zairil Khir Johari
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Bendera daripada DAP, Zairil Khir Johari menyeru seluruh Ahli Parlimen dari Sarawak menolak pindaan ke atas Akta 355 Bidang Kuasa Mahkamah Syariah.

Kata beliau, rang undang-undang (RUU) persendirian yang dibentangkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu akan memberi lebih kuasa kepada Mahkamah Syariah.

“Jika pindaan ini diluluskan, Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa untuk melaksanakan apa sahaja bentuk hukuman yang dibenarkan oleh Islam selain daripada hukuman bunuh.

“Ini termasuk hukuman 100 sebatan kepada penzina, 80 sebatan kerana fitnah seksual, 40-80 sebatan kerana mabuk dan hukuman penjara termasuk pelucutan hak harta untuk mereka yang bidaah dan murtad,” dakwanya dalam satu kenyataan media.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang baru-baru ini turut menyeru pertubuhan-pertubuhan Cina memberi tekanan kepada pemimpin kerajaan berketurunan Cina supaya mengagalkan usaha Presiden PAS tersebut.

Abdul Hadi sebelum ini membentangkan usul pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian (Pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan 2015) Akta 355 di Parlimen.

Ia antara lain bertujuan memperkasakan institusi Mahkamah Syariah dalam negara namun dilihat oleh Pakatan Harapan sebagai usaha untuk melaksanakan undang-undang hudud di Malaysia. –Kedahnews.com