14 Petani, 650 Penduduk Miskin Bagan Serai Terima Bantuan Kerajaan

Gambar Hiasan
BAGAN SERAI – Seramai 14 petani, masing-masing menerima wang tunai RM250 selepas nama mereka tercicir daripada senarai penerima bantuan akibat tanaman sawah mereka menghadapi bencana kemarau ekoran fenomena El Nino, April lepas.

Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai Datuk Sham Mat Sahat berkata kumpulan petani terbabit adalah sebahagian daripada 1,877 petani yang layak menerima bantuan bencana kerajaan berikutan sawah mereka tidak dapat ditanam.

“Kerajaan negeri dan Pusat prihatin kerana mereka juga perlu dibantu bagi meringankan beban yang dihadapi terutama menjelang Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sumbangan Aidilfitri UMNO Bahagian Bagan Serai di sini semalam.

Pada April lepas, seramai 1,835 petani di Kerian membabitkan kawasan sawah seluas 4,697 hektar di Selinsing dan Semanggol terjejas kerana bekalan air dari Tasik Bukit Merah tidak dapat dilepaskan akibat kemarau.

Petani di kawasan jelapang padi Kerian itu mengalami kerugian sebanyak RM56 juta akibat fenomena El Nino.

Sementara itu, Sham yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu berkata seramai 650 orang termasuk ibu tunggal, fakir miskin, anak yatim dan gelandangan sekitar Bagan Serai menerima sumbangan kerajaan negeri dan Pusat lebih RM90,000 bagi meringankan beban mereka dalam menyambut Aidilfitri.

“Setiap seorang masing-masing menerima RM100 dan RM50 barangan keperluan untuk membolehkan mereka membuat persiapan bagi menyambut hari raya,” katanya. – BERNAMA