15 Rakyat Malaysia Terkandas Di Lapangan Terbang Ataturk


KUALA LUMPUR – Kira-kira 15 rakyat Malaysia kini terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk di Istanbul, Turki, berikutan cubaan rampasan kuasa oleh tentera, kata Kedutaan Besar Malaysia di Ankara.

Jurucakap kedutaan ketika dihubungi Bernama pagi semalam berkata, pihaknya setakat ini menerima maklumat bahawa 15 rakyat Malaysia berada di lapangan terbang itu dan menasihatkan mereka supaya sentiasa memantau suasana sekeliling serta mematuhi arahan dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

“Rakyat Malaysia yang terperangkap di dalam lapangan terbang itu harus sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan tidak melakukan sebarang tindakan yang berbahaya dalam situasi yang tegang sekarang,” katanya.

Beliau berkata pihak kedutaan akan terus memantau situasi berkenaan dan meminta rakyat Malaysia di Turki yang memerlukan bantuan supaya menghubungi kedutaan itu di talian +(90)312-4463547 atau +(90)312-4463548.

Selain itu, beliau berkata orang ramai juga boleh menghubungi Kementerian Luar Negeri di Putrajaya menerusi talian 03-88874570 (selepas waktu pejabat) atau 03-80008000.

Sementara itu, Persatuan Pelajar Malaysia di Turki (MASAT), dalam catatan Facebook berkata MASAT masih mengemas kini maklumat pelajar Malaysia di Turki.

Mereka meminta anggota keluarga pelajar dan orang ramai berhati-hati dalam memilih berita serta merujuk kepada berita sahih daripada sumber rasmi untuk mengetahui perkembangan terkini di Turki. – BERNAMA