180 Kg Ganja Dalam Bonet, Lelaki Ditahan Di Jalan Putra


ALOR SETAR - Seorang lelaki tempatan ditahan polis setelah memiliki dadah jenis ganja mampat dianggarkan seberat 180 kilogram (kg) yang diletakkan di dalam bonet keretanya.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, pada Khamis lalu kira-kira jam 9 malam, sepasukan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah telah menahan sebuah kereta jenis Toyota yang dipandu seorang lelaki di Jalan Putra.

“Pemeriksaan lanjut terhadap lelaki berusia 45 tahun itu, berjaya menemui enam guni berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja di but belakang keretanya,” katanya pada sidang media, semalam.

Menurutnya, rampasan dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM540,000 dan dipercayai dibawa masuk dari negara jiran.

“Ujian saringan air kencing adalah negatif, namun suspek berkenaan mempunyai rekod lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya,” katanya.

Abdul Jalil berkata, selang 10 minit serbuan pertama dibuat, seorang lelaki berusia 46 tahun turut ditahan berdekatan lokasi suspek pertama.

“Lelaki kedua ini berasal dari Pulau Pinang, dan ditahan kira-kira 500 meter dari lokasi individu pertama yang bawa dadah,” katanya.

Menurut Abdul Jalil, polis masih menyiasat kemungkinan kedua-dua suspek merupakan ahli mana-mana kumpulan berikutan jarak yang hampir ketika mereka ditahan.

“Kita masih menyiasat hubungan kedua-dua suspek dari pelbagai sudut, seperti kemungkinan mereka hendak bertemu untuk mengambil bekalan dadah,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari, sehingga 21 Julai bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

“Tindakan lelaki terbabit juga yang membawa ketulan ganja tanpa disembunyikan di mana-mana bahagian rahsia menunjukkan golongan pengedar ini semakin berani dan agresif,” katanya.

Sumber: Sinar Harian