18.4 Peratus Penduduk Sarawak Obes

Gambar Hiasan
KUCHING - Sebanyak 18.4 peratus penduduk Sarawak berumur 18 tahun ke atas dianggar termasuk dalam prevalens obesiti manakala 30.1 peratus lagi dalam keadaan berat badan yang berlebihan.

Angka ini menunjukkan prevalens yang lebih tinggi sedikit berbanding tahap nasional yang mencatatkan 17.7 peratus obesiti (BMI=30kg/m(2) keatas), dan 30 peratus masalah berat badan berlebihan (BMI 25.0 hingga 30.0 kg/m(2)).

Indeks Jisim Badan (BMI) adalah petunjuk jumlah lemak badan seseorang berdasarkan kepada nisbah berat badan, berbanding ketinggiannya.

Bagaimanapun dari sudut penyakit tidak berjangkit, masalah diabetis di Sarawak menunjukkan angka 14.8 peratus daripada penduduk berumur 18 tahun ke atas, iaitu lebih rendah berbanding tahap nasional 17.5 peratus.

Maklumat ini ini adalah antara data yang terkandung dalam Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 (NHMS) yang dilaksanakan oleh Institut Kesihatan

Umum (IKU) yang diperoleh Bernama di sini baru-baru ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam dalam satu kenyataan berkenaan NHMS 2015 di Putrajaya baru-baru ini berkata secara keseluruhan prevalens berat badan mencatatkan peningkatan berbanding kajian pada tahun 2006 dan 2011, iaitu masing-masing dengan 29.1 peratus dan 29.4 peratus.

Sementara itu, dua lagi penyakit tidak berjangkit iaitu hipertensi dan paras kolesterol tinggi dalam darah di Sarawak mencatatkan tahap tinggi; iaitu 37.3

peratus hipertensi (berbanding 30.3 peratus tahap nasional) dan 48.6 peratus kolesterol tinggi dalam darah (berbanding 47.7 tahap nasional).

Dari segi prevalens perokok turut menyaksikan peratusan tinggi bagi penduduk 15 tahun dan ke atas di Sarawak, menjangkau 25.4 peratus, berbanding 22.8 peratus di tahap nasional. - Bernama