20 Tahun Belum Tentu Militan DAESH Lumpuh - CIA


AGENSI Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) mengesahkan perang melawan militan IS yang diasaskan Abu Bakar Al Baghdadi pada 2014 antara cabaran terbesar Kempen Anti Keganasan di seluruh dunia pada abad ini.

IS menurut CIA – kini berkembang sebagai satu ideologi sejagat yang mendokong pembinaan negara tanpa sempadan dan boleh bertapak di mana saja sebagai entiti kepada idea Negara Khalifah yang menolak semua bentuk ideologi kenegaraan termasuk demokrasi.

Menurut Ketua Bahagian Counter Terorism Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, CIA yakin dalam tempoh 20 tahun – perang bersenjata menghapuskan IS tidak akan menemui penyelesaian.

“Inteligen CIA menyifatkan, IS bukan hanya isu gerakan militan di Iraq dan Syria, tetapi ideologinya sudah meresap dan mendapat sokongan di pelbagai pelusuk dunia,” kata Ayob Khan ketika menyampaikan ceramah Ancaman IS Terhadap Keselamatan Negara di Putrajaya baru-baru ini.

IS satu ideologi yang sudah berbaiah (sumpah persaudaraan) dengan pelbagai gerakan ekstrimis dan militan yang sebelum ini hanya entiti lokal yang berjuang menuntut kemerdekaan wilayah.

Selain IS di Asia Barat, militan Al Syabab dan Boko Haram di Afrika sudah melafazkan ikrar taat setia pada pimpinan IS.

“Malah di Asia Tenggara, Jemaah Islamiah (JI) di Indonesia, Daulah Islamiah di Borneo serta Abu Sayyaf di Selatan Filipina turut bergabung dengan IS dan dikenali sebagai Daulah Islamiah Khatibah Nusantara,” jelas Ayob Khan.

Sekali pun gerakan IS berjaya dilumpuhkan di Syria dan Iraq, akan bangkit pusat gerakan baharu di Libya kerana kini terdapat hampir 15 ribu penyokong IS yang menguasai lebih 30 peratus wilayah Libya.

CIA menganggarkan terdapat lebih 10 ribu militan IS di Iraq dengan kekuatan utama di Mosul bersempadan Syria. Malah, CIA tidak menafikan angka itu mungkin mencecah 20 ribu anggota sekiranya bergabung dengan kumpulan militan IS Syria yang berpusat di Raqqa.

Bulan lalu, operasi pengeboman tentera AS dan serangan darat Tentera Iraq selama dua minggu berjaya merampas semula bandar Fallujah di Iraq yang bersempadan dengan Mosul setelah jatuh ke tangan IS sejak Okrober 2014.

“Di Asia Tenggara, berlaku perebutan kuasa antara JI dan Abu Sayyaf untuk mengetuai Khatibah Nusantara, wilayah IS yang merangkumi Indonesia, Borneo, Malaysia, Selatan Thailand dan Selatan Filipina,” kata Ayob Khan.

Insiden serangan bom di Indonesia beberapa bulan lalu, serta meningkatnya keganasan Abu Sayyaf dalam siri pembunuhan tebusan dan aktiviti penculikan sekarang, mempunyai kaitan dengan kempen perlumbaan untuk berkuasa sebagai pemimpin operasi di wilayah Khatibah Nusantara.

Perebutan kuasa untuk diiktiraf sebagai ketua operasi oleh kepimpinan IS di Iraq dan Syria antara pendorong utama meningkatnya siri keganasan di rantau ini. Selain itu, pembentukan sel keganasan melalui perkongsian ideologi turut dikenalpasti sebagai punca serangan berani mati di Perancis dan AS baru-baru ini.


Selain berbaiah dengan militan di pelbagai wilayah, penyebaran ideologi untuk memusnahkan semua kerajaan yang tidak berasaskan kepada ideologi IS berjaya meningkatkan sokongan individu yang bertindak melancarkan serangan bersenjata di kawasan awam.

Menurut analisis CIA, sejak penubuhan IS oleh Abu Bakar Al Baghdadi pada 13 Nov 2014, anggaran kekuatan IS di Iraq kini memiliki 10 ribu pejuang.

Jumlah kekuatan yang sama turut dimiliki IS di Libya yang kini berpusat di Sirte. Selain Sirte, IS Libya turut menguasai Cyrenaica di Timur, Fezzan di Selatan dan Tripolitania di Barat. CIA yakin, Libya akan berkembang sebagai wilayah baharu IS di Afrika Utara sekiranya gerakan itu dimusnahkan di Asia Barat.

Pada masa ini, terdapat lebih 200 rakyat Malaysia disahkan Bukit Aman sebagai pejuang IS di Asia Barat.

20 warga Malaysia disahkan terbunuh sejak menyertai gerakan IS di Asia Barat dengan enam bertindak sebagai pengebom bunuh diri.

Terbaharu, Mohd. Syam Hashim, 37 atau Abu Syamil disahkan terbunuh pada 29 Jun di Bayji, Iraq.

Manakala 193 lagi ditahan di negara ini atas pelbagai kesalahan. –Kedahnews.com