260 Rakyat Malaysia Di Turki Selamat - Wisma Putra


PUTRAJAYA – Sejumlah 260 rakyat Malaysia di Turki, termasuk 180 pelajar, dilaporkan selamat berikutan cubaan rampasan kuasa oleh pemberontak tentera Turki pada Jumaat.

Dalam satu kenyataan media di sini pada Sabtu, Wisma Putra berkata Kedutaan Malaysia di Ankara telahpun berhubung dengan semua rakyat Malaysia yang berada di negara itu.

“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular berikutan cubaan rampasan kuasa itu boleh menghubungi kedutaan di talian +903124463547 atau +903124463548 atau menerusi e-mel di mwankara@kln.gov.my untuk mendapatkan maklumat,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar turut menyediakan talian hotline 24 jam 03-88874570 bagi orang ramai mendapatkan perkembangan terkini.

Menurut laporan, sekumpulan kecil tentera merampas kuasa di negara berkenaan, bagaimanapun Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata pada Sabtu bahawa cubaan itu telahpun gagal, dan menggesa rakyat supaya menjunjung demokrasi.

Kedutaan Turki di Malaysia hari ini mengulangi kenyataan bahawa kerajaan pimpinan Erdogan masih lagi berkuasa. – BERNAMA