30 Dicekup Ketika Leka Menagih Di Kuala Muda

Antara suspek yang ditahan penguat kuasa AADK.
SUNGAI PETANI - Seramai 30 lelaki tempatan yang sedang leka menghisap dadah di beberapa lokasi panas dicekup Unit Penguat kuasa dan Keselamatan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda dalam Operasi Sarang susulan aduan orang awam, baru-baru ini.

Operasi itu melibatkan lima anggota penguat kuasa dibantu tiga kakitangan sokongan lain yang diketuai Pegawai AADK, Shahrurizal Shariff.

Pengarah AADK Negeri, Mohammad Nazer Mustafa berkata, operasi yang bermula sejak awal pagi itu berjaya menahan 30 penagih yang dikesan mengambil bahan terlarang itu selain bertindak mengganggu ketenteraman awam.

Menurutnya, lokasi yang terlibat adalah Kampung Bukit, Kampung Berapit, Flat Paya Nahu, Sidam, Kampung Teluk, Taman Seroja, Kampung Batu 3, Kampung Pulau Tiga dan lokasi lain.

"Hasil saringan mendapati kesemua mereka yang berusia 15 hingga 50 tahun positif dadah jenis ganja, opiat dan methamphetamin.

"Kesemua mereka dibawa ke Pejabat AADK Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut dan disabitkan kesalahan di bawah seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya kelmarin.

Mohammad Nazer berkata, beberapa kesukaran terpaksa dilalui oleh penguat kuasa ketika menahan suspek berkenaan apabila ada antara mereka yang melarikan diri ketika serbuan dijalankan.

“Mereka yang ditangkap ini juga mempunyai rekod lampau terlibat dengan aktiviti jenayah dan dadah melalui soal siasat yang dijalankan serta makluman daripada masyarakat setempat,” katanya.

Menurutnya, serbuan di port penagihan Kampung Bukit, Sungai Pasir, pihaknya berjaya menahan tiga penagih tegar menjadikan sebuah rumah terbakar sebagai port selamat menagih dadah.

“Bagaimanapun, tokan dadah yang dikenali sebagai ‘Kapit’ berjaya melarikan diri semasa serbuan dijalankan,” katanya.

Justeru itu, Mohammad Nazer berkata AADK Daerah Kuala Muda akan sentiasa menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik melalui kerjasama antara pelbagai pihak untuk bersama-sama perangi dadah.

“Untuk itu, pihak AADK Daerah Kuala Muda juga mengharapkan pelbagai pihak tampil menyalurkan maklumat melalui saluran aduan yang disediakan.

“Masyarakat khususnya di Kuala Muda boleh melayari laman Facebook AADK Daerah Kuala Muda bagi mengetahui serta mengikuti perkembangan terkini berkaitan dadah.

“Dengan tangkapan yang dijalankan memberi peluang mereka terlibat dengan penagihan dadah untuk mengikuti program pemulihan dadah yang disediakan oleh pihak kerajaan bagi membantu mereka kembali pulih,” katanya.

Sumber: Sinar Harian