34 Bas & Lori Disaman Dalam Op Selamat Di Bukit Gantang


BUKIT GANTANG – Sebanyak 35 saman dikeluarkan kepada pemandu lori dan bas atas pelbagai kesalahan dalam Op Selamat 9/2016 di Kilometer 225.2, dekat hentian sebelah Bukit Gantang arah selatan malam semalam.

Komander Lebuh Raya Zon Utara, Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, ASP Hazil Reza Mohd Ghazali berkata antara kesalahan dikesan ialah memandu melebihi had laju, muatan tidak kemas bagi lori selain lesen memandu tamat tempoh.

Katanya dalam operasi yang bermula dari 9.30 malam hingga 12 tengah malam dan disertai 35 anggota polis trafik selain kakitangan Plus Bhd itu, sebanyak 35 bas serta 70 lori diperiksa.

“Hasil pemeriksaan dua pemandu lori ditahan kerana positif ujian air kencing yang menunjukkan mereka menagih ganja,” katanya kepada pemberita pada akhir operasi itu di sini.

Hazil Reza berkata pihaknya mengadakan operasi terhadap bas dan lori kerana kenderaan perdagangan itu kerap terbabit dalam kemalangan jalan raya.

“Kita juga bertanya kepada penumpang bas sama ada pemandu bas memandu secara berbahaya atau secara berhemah ketika berada di atas jalan raya,” katanya.

Mengenai muatan lori yang tidak kemas, Hazil Reza berkata ia sangat berbahaya kerana berisiko untuk jatuh dan seterusnya membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Beliau berkata pihaknya akan mengadakan operasi dari semasa ke semasa terhadap kenderaan perdagangan bagi memastikan kecuaian mereka dapat dielakkan bagi mengurangkan kemalangan. – BERNAMA