36 Telaga Tiub Akan Dibangunkan Semula - Badrol Hisham


PADANG TERAP - Sebanyak 36 telaga tiub sedia ada akan dibangunkan semula oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Kedah bagi menangani krisis air di kawasan kritikal di negeri ini.

Difahamkan kesemua telaga tiub ini dibina sejak 1979 yang masih boleh digunakan

Exco Perumahan dan Kerajaaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Badrol Hisham Hashim berkata daripada jumlah itu sebanyak lapan telaga tiub dijangka siap dinaik taraf pada Oktober ini.

Katanya setiap telaga tiub itu dijangka dapat menampung bekalan air antara 300 sehingga 6000 penduduk bergantung kepada keupayaan telaga terbabit.

"Setiap telaga ini memerlukan kos sehingga RM100,000 untuk dibangunkan semula yang dilakukan secara berperingkat.

"Ini kerana peruntukkan tersebut diperolehi daripada pelbagai pihak iaitu kerajaaan negeri, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar , dan juga Pejabat Parlimen Padang Terap,"katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan Tapak Telaga Tiub di Sekolah Menengah Agama (SMA) As-Siddiqiah Al- Islamiah di Kampung Padang Kerasak, Naka di sini, semalam.


Badrol Hisham berkata lapan kawasan terbabit yang akan dibangunkan segera ialah di Pendang iaitu Kampung Hutan Keton dan Kampung Sungai Jagong serta Kampung Lanai,Sik.

Selain itu di kawasan Padang Terap ialah Kampung Sungai Long ,Kampung Pong Selatan, Felda Bukit Tembaga/ Kampung Kuala Pai manakala dua lagi di Pokok Sena iaitu di Sekolah Menengah Sains Pokok Sena dan Kampung Budi.


Kata Badrol Hisham menerusi kerjasama Syarikat Air Darulaman Sdn.Bhd (SADA) dan JMG pula beberapa telaga tiub di Tupah dan Merbok dan Kampung Wang Perah, Jitra akan dibangunkan semula.

"Bagi Kampung Wang Perah proses gerudian dijangka akan dilakukan pada Ogos ini manakala di Tupah dan Merbok akan dilakukan secara berperingkat sebelum hujung tahun ini," katanya.

Turut hadir Timbalan Pengarah JMG Kedah Hamdan Ariffin dan Ketua Unitnya Badrol Mohammad. -MBO.comm/Kedahnews.com