Pegawai AADK Baling menyoal siasat penagih yang ditahan. |
BALING - Empat remaja antara lapan penagih yang ditahan dalam Ops Aduan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Baling, kelmarin.
Operasi yang bermula jam 10 malam kelmarin merupakan kejayaan kedua berturut-turut selepas tiga penagih ditahan di Mukim Kupang sebelum ini.
Pegawainya, Arnida Ishak berkata, kesemua penagih yang berusia 16 hingga 30 tahun itu ditahan di kawasan Felda Teloi Kanan, Kampung Jawa dan Kampung Lanai.
Menurutnya, hasil ujian air kencing, lapan penagih berkenaan positif dadah jenis opiat dan methamphetamine.
“Remaja berkenaan juga sudah tidak bersekolah dan perkara ini disahkan oleh bapanya yang merupakan orang kena tuduh (OKT). Bapa kepada remaja berkenaan turut diberikan sesi kaunseling.
“Kesemua yang ditahan diletakkan di bawah rawatan dan pemulihan secara berinstitusi Cure And Care (C&C), Cure And Care (C&C) Serendah dan Cure And Care (C&C),” katanya.
Tambahnya, operasi itu disertai enam pegawai dan diketuai Syafiza Hassan.
Arnida Ishak berkata lagi, AADK Baling akan meneruskan usaha membanteras dadah sehabis-habisan dalam daerah ini.
“Namun begitu, kami amat memerlukan sokongan masyarakat dalam menangani masalah ini,” katanya.
Dalam pada itu, Arnida turut menasihati golongan remaja dan belia agar tidak sesekali terlibat dengan gejala dadah.
“Sekali terjebak sengsaralah hidup, ingat pesanan ini dadah kesannya membinasakan.
"Ibu bapa perlu pantau anak-anak di rumah dan jangan terlalu memberi kebebasan sehingga kita sendiri tidak mampu mengawalnya,” katanya.
Dalam perkembangan sama, katanya, orang kena pengawasan (OKP) yang gagal hadir menjalani latihan pemulihan di AADK Baling akan berdepan dengan tindakan.
“OKP yang tidak hadir menjalani program pemulihan akan dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 6(2) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 iaitu boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dari tiga tahun atau tidak lebih tiga sebatan atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sumber: Sinar Harian