40 Mercun Bola Meletup, Pelajar Tingkatan 2 Hancur 3 Jari Kaki

TIN yang digunakan untuk mengisi 40 biji mercun bola. - Foto Abdulla Nik Omar
KOTA BHARU - Seorang pelajar Tingkatan Dua hancur tiga jari kaki kanan serta retak tulang kaki selepas 40 biji mercun bola yang dinyalakan meletup, di Kampung Sireh, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang, mangsa Mohd Aidil Ikhwan Mohd Rashid, 14, dikatakan memasukkan ke dalam tin sebelum menyalakan mercun berkenaan.

Bagaimanapun, mercun terbabit tidak meletup menyebabkan mangsa menguis tin berkenaan dengan kaki, sebelum mercun terbabit secara tiba-tiba meletup.

Akibat letupan itu, tiga jari kaki kiri mangsa hancur termasuk ibu jari, jari telunjuk dan jari hantu serta retak tulang kaki.

Bapa mangsa, Mohd Rashid Ismail, 55, berkata, ketika kejadian dia berada di rumahnya sebelum terkejut mendengar bunyi dentuman kuat seperti letupan bom.

"Saya bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku dan terkejut melihat kaki anak saya berlumuran darah dan mengerang kesakitan. Kami menghantar Mohd Aidil Ikhwan ke hospital," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, semalam.

Mohd Rashid berkata, anaknya dijangka menjalani pembedahan petang semalam.

Sumber: BH Online