5 Remaja Dicekup Ketika Asyik Minum "Cakoroi" Di Sg Petani

Remaja termasuk pelajar yang ditahan ketika leka minum air ketum bersama minuman bergas.
SUNGAI PETANI - Tindakan lima remaja yang menjadikan sebuah rumah di Taman Keladi dekat sini, sebagai port penagihan air ketum atau ‘cakoroi’ terbongkar selepas diserbu Unit Penguatkuasaan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda dalam satu Operasi Aduan di sekitar Daerah Kuala Muda, kelmarin.

Dalam serbuan yang diketuai Pegawai AADK, Norhayati Mansor berjaya menahan lima remaja berkenaan yang sedang asyik menikmati air ketum bercampur minuman bergas.

Pengarah AADK Negeri, Mohammad Nazer Mustafa berkata, hasil pemeriksaan mendapati tiga daripada remaja itu masih bersekolah, namun ketika kejadian mereka ponteng sekolah.

“Kesemua remaja lelaki berusia 16 hingga 17 tahun itu dibawa ke Pejabat AADK Daerah Kuala Muda untuk menjalani saringan air kencing dan mendapati dua daripada mereka positif dadah jenis syabu,” katanya.

Menurutnya, pihaknya memandang serius penglibatan pelajar dengan aktiviti meminum air ketum dicampurkan dengan pelbagai bahan lain bertujuan khayal.

"Kami khuatir mereka juga akan terjebak dengan penagihan dadah jika tidak dibendung di peringkat awal.

“Berikutan itu, pihak AADK akan meneruskan operasi ini dari masa ke semasa bagi memerangi dadah dan berharap masyarakat akan menyalurkan maklumat sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan di kawasan kediaman mereka,” katanya.

Dalam Operasi Aduan di beberapa lokasi lain, Mohammad Nazer berkata, pihaknya berjaya menahan 26 orang disyaki terlibat dengan penagihan dadah hasil risikan yang dijalankan sejak seminggu lalu.

Menurutnya, kawasan yang diserbu adalah Taman Arked, Keladi, Kampung Pokok Asam, Kampung Padang Limau, Kampung Batu Lintang, Kampung Teluk dan sebuah bengkel membaiki kereta di Tikam Batu.

“Pihak AADK mendapati trend penagih dadah bukan sahaja menjadikan kawasan hutan seperti kelapa sawit dan belukar, namun mereka kini lebih aktif menjadikan rumah sebagai sebagai port melepaskan gian,” katanya.

Katanya, hasil saringan dijalankan ke atas 21 suspek yang ditahan mendapati 18 orang daripada mereka berusia 17 tahun hingga 56 tahun didapati positif dadah jenis ganja, syabu dan morfin.

“Mereka yang ditahan akan disabit kesalahan mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Sumber: Sinar Harian