Siti Nuraisah (kanan sekali) dan adik-adiknya bersama Rauzah serta Sheera yang berkunjung rumah keluarga yang serba kekurangan itu di Mersing, baru-baru ini. |
PETALING JAYA - Keputusan Mahkamah Majistret Kota Tinggi, Johor menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara terhadap lima sekeluarga yang didapati bersalah mencuri produk kosmetik, disambut dengan penuh kesyukuran terutama di kalangan anak pesalah terlibat.
Ternyata rahmat di bulan Ramadan ini membolehkan keluarga berkenaan menyambut Syawal yang bakal diraikan beberapa hari lagi.
Anak sulung kepada salah seorang pesalah terlibat, Siti Nuraisah Bustami berkata, kehadiran ibu di sisi membuatkan dia kini lebih bersemangat untuk menyambut Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
“Sememangnya inilah masa yang saya tunggu, nak beraya bersama mak. Adik-adik pun gembira. Tak sangka akhirnya terubat juga rindu”, katanya selepas kali terakhir berjumpa ibunya, Zariah Zakaria, Jun lalu.
Siti Nuraishah juga lega kerana kehadiran ibunya membolehkan adik bongsunya yang berusia enam bulan menyusu kerana sememangnya Mohd Shazlie, tidak biasa dengan susu yang dibeli, malahan adiknya yang lain masing-masing Sahid Zairuddi, 15; Mohd Syaful, 11; Muhd Sahimi, 8; Muhamad Adam, 6 juga begitu gembira apabila dapat merayakan Aidilfitri bersama ibu mereka.
Menceritakan lebih lanjut mengenai ibunya, kata Siti Nuraisah, 18, beliau bersyukur melihat perubahan pada ibunya yang kini lebih menjaga solat.
Ketika ditanya mengenai persiapan lebaran, katanya, tiada sebarang persediaan istimewa dapat dilakukan kerana masalah kewangan yang dihadapi keluarga.
“Ayah memperoleh pendapatan RM1,000 sebulan dan ia akan digunakan untuk membayar ikat jamin mak," katanya.
Kesempitan hidup keluarga ini turut mendapat perhatian pengasas produk kosmetik Dara Anggun Rauzah Abdul Hadi bersama duta produk, Sheera Iskandar apabila tampil menghulurkan sumbangan ketika berkunjung ke kediaman Siti Nuraisah sekeluarga di Kampung Wak, Mersing baru-baru ini.
Pada 30 Jun lalu, Majistret Mazana Sinin membuat keputusan menangguhkan hukuman selepas mempertimbangkan permohonan rayuan yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi Johor Baru menerusi peguam Ahmad Zaidi Zainal.
Mahkamah juga menetapkan setiap wanita diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Terdahulu, pada 21 Jun lalu, Majistret Mazana menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas seorang ibu tunggal, tiga menantu perempuan dan seorang anak perempuannya selepas mereka mengaku bersalah mencuri pelbagai barangan kosmetik dianggar bernilai RM2,171.50 di kedai Produk Kesihatan dan Kecantikan Sri Tanjung, Jalan Anggerik 4/1, Taman Anggerik, Bandar Tenggara, di sini, kira-kira 11.40 pagi, 17 Jun lepas.
Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap, Rohaya A Rahman, 57, tiga menantunya, Maimunah Che Abdullah, 26, Noriza, 39 dan Nurul Fatihah, 19, serta anaknya, Zariah Zakaria, 37.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda manakala bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya boleh dipenjara dengan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Sumber: mStar