6 Wanita Vietnam Diberkas Penguatkuasa Imigresen Di Kulim


ALOR SETAR – Imigresen Kedah menahan enam wanita warga Vietnam dalam Op Ikrar yang dijalankan di sebuah premis pusat kecantikan di Jalan Lembah Impian 1, Kulim, kelmarin.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen, Kedah Mohd Shahrir Khalil berkata dalam operasi yang dijalankan pada 10.15 malam itu, pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap enam wanita warga Vietnam dan lima lelaki tempatan yang berada di dalam premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, enam wanita warga Vietnam berumur antara 22 dan 35 tahun ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas lawatan sosial,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Mohd Shahrir berkata kesemua PATI yang ditahan ditempatkan di lokap Imigresen negeri di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Depoh Imigresen Belantik, Sik. – BERNAMA