Shamsul Ghau-Ghau |
"UMRAH ini berlaku pada tahun 2001 ketika itu nama saya berada di puncak, dan saya pun tidak tahu kenapa saya pergi," kata selebriti yang pernah popular suatu ketika dulu iaitu Shamsul Azahar Aliddin, 48, atau lebih dikenali dengan panggilan Shamsul Ghau-Ghau.
Shamsul berkata, ketika itu, baru dia sedar bahawa ada sebab ALLAH menjemputnya ke Makkah untuk menunaikan umrah.
"Rupanya ALLAH nak mengajar saya sesuatu, rupanya saya sudah meninggalkan al-Quran begitu lama dan bila saya sampai itulah yang saya dapat," katanya kepada Sinar Online baru-baru ini.
Katanya, peristiwa tidak boleh membaca al-Quran ketika di Makkah benar-benar meruntun dirinya, hinggakan dia sebak dan menginsafi diri.
"Saya tidak boleh baca al-Quran, malu dan sedih lantas saya terus memperbanyakkan doa kepada ALLAH.
"Kini saya sedang mempertingkatkan ilmu bacaan al-Quran melalui tiga guru untuk melancarkan bacaan, di samping mempelajari maksudnya," katanya lagi.
Menurut Shamsul, dia tidak menganggap kesilapan lalu adalah detik hitam sebaliknya ia adalah pembuka jalan baginya untuk memperbaiki dirinya sekarang.
Oleh itu, tuturnya dia kini giat berdakwah berkongsi pengalaman hidupnya bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat.
Dalam pada itu, katanya dia berharap perubahan yang berlaku kepada dirinya, dapat membawa manfaat kepada umat Islam lain dan supaya boleh diambil iktibar apa yang berlaku kepadanya.
“Kita hidup sudah berpuluh tahun tapi kita tak tahu maksud bacaan dalam solat kita.
“Saya berharap perubahan ini dapat melapangkan kubur mak ayah saya yang sudah tiada. Saya tak menolak perubahan saya hari ini adalah hasil doa arwah mak saya yang tak jemu memberi nasihat semasa hayatnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, tuturnya dia kini bangga untuk menyatakan bahawa mempelajari al-Quran adalah sesuatu yang menyenangkan dan berharap dapat menarik lebih ramai orang untuk berubah menjadi lebih baik.
“Al-Quran itu perlu dibaca, difahami dan diamalkan dalam kehidupan seharian kita. Cuba tanya diri kita dalam sehari berapa banyak kita pegang al-Quran berbanding telefon pintar?
“Saya bukan mahu buka aib diri saya, sebaliknya mahu mengajak lebih ramai orang Islam mendekati ALLAH dan memberikan pahala kepada mak ayah saya yang sudah tiada,” katanya.
Sumber: Sinar Harian